Anwar beri petunjuk kepimpinan PKR Sabah berubah


Jason Santos

Anwar Ibrahim berada di Sabah bertemu 26 ketua cabang Sabah dan Labuan untuk mendengar pandangan mereka tentang kepimpinan PKR Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2018.

ANWAR Ibrahim hari ini memberi petanda kemungkinan wujud perubahan kepimpinan PKR Sabah.

Keputusan itu akan dibuat pada Selasa minggu depan, katanya.

Beliau bagaimanapun bertegas tidak mendedahkan sama ada akan mengekalkan Pengerusi sekarang, Christina Liew atau menggantikannya dengan orang lain walaupun diasak pertanyaan wartawan sebanyak dua kali.

Kedudukan Liew goyah selepas sebuah kumpulan dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mahu menggantikan pucuk kepimpinan negeri dengan Ketua Cabang Tawau Kong Hon Ming.

Kumpulan yang diketuai Ahli Majlis Pimpinan Pusat Rahimah Majid yang juga ketua cabang Kudat itu mendakwa 15 ketua cabang negeri mengundi untuk memilih Kong, bilangan yang mencukupi untuk menyingkirkan Liew.

Sabah mempunyai 25 cabang PKR, serta satu cabang di Labuan.

“Ada kemungkinan (kepimpinan) berubah, tetapi saya tak boleh kata (umum) sekarang.

“Pertamanya saya perlu kaji semua pandangan diberikan 25 ketua cabang. Saya akan bincangkan perkara ini lebih lanjut dengan kepimpinan parti.

“Saya hanya akan buat keputusan bila Biro Politik bermesyuarat Selasa minggu depan,” katanya di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Anwar berada di Sabah untuk bertemu semua 26 ketua cabang Sabah dan Labuan dan mengumpul undi mereka berkaitan barisan kepimpinan negeri. – 9 Disember, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen