ANWAR Ibrahim memberikan jaminan yang Pakatan Harapan (PH) akan menghapuskan semua undang-undang menekan wujud di negara ini.
Bagaimanapun, presiden PKR itu berkata yang Malaysia tidak boleh menafikan pada masa kini ia berdepan dengan kewujudan “kumpulan terdesak” yang pantas membangkitkan pandangan melampau mengenai kaum dan agama untuk mencetuskan masalah.
“Ada beberapa keadaan yang mendesak sekarang…kita perlu akui yang kerajaan (PH) masih baharu dan kita mewarisi pentadbiran yang teruk dipenuhi dengan korupsi membarah, salah guna kuasa dan usaha berterusan kumpulan terdesak untuk membangkitkan pandangan pelampau mengenai agama dan kaum,” katanya kepada wartawan di Kota Kinabalu, Sabah.
Anwar mengulas kebimbangan dibangkitkan aktivis hak asasi yang mendakwa kerajaan PH sama zalimnya dengan Barisan Nasional selepas tidak memenuhi beberapa janji manifestonya.
Kua Kia Soong daripada Suaram memberitahu yang kerajaan PH gagal melakukan perubahan institusi dan menghapuskan undang-undang zalim.
Kua percaya kerajaan PH tidak boleh berbuat demikian kerana dikawal perdana menteri yang juga Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.
Beliau juga membangkitkan tindakan kerajaan untuk menarik balik moratorium ke atas Akta Pencegahan Jenayah (Poca), Akta Pencegahan Keganasan (Pota), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) dan Akta Hasutan susulan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 26 November lepas.
Anwar berkata beliau mengambil berat pandangan Suaram dan berikrar yang keputusan menangguhkan moratorim itu tidak akan menggugat komitmen kerajaan untuk menghapuskan semua undang-undang menekan.
“Itu adalah kedudukan kami. Ia jelas tercatat dalam manifesto. Jelas sekali, kami akan hormati komitmen itu,” katanya.
Mengenai Dr Mahathir pula, Anwar berkata PH sudah memberikan mandat kepadanya untuk memerintah dan menjadi perdana menteri, dan kerana itu sudah jadi tanggungjawab semua untuk menyokongnya bagi memastikan kerajaan terus stabil dan kukuh.
Beliau juga menafikan dakwaan yang Dr Mahathir menghalang semua wakil rakyat PH menyuarakan pandangan mereka, berkata beliau adalah pengerusi Kaukus Tadbir Urus dan Perubahan PH dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai timbalannya.
“Isu menghapuskan undang-undang zalim sudah tentu mustahak. Ia akan jadi keutamaan kami untuk menghapuskannya.
“Malaysia Baharu tidak memerlukan persekitaran menakutkan, tetapi penekanan kepada tadbir urus yang baik, serta menghapuskan korupsi, pelampau agama dan kaum,” katanya. – 9 Disember, 2018.
Komen