Sukar bekerja di bawah BN, kata pengerusi Suhakam


Asila Jalil

Pengerusi Suhakam Razali Ismail ketika bercakap kepada media pada sambutan Hari Hak Asasi Manusia di Petaling jaya hari ini– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Disember, 2018

PENTADBIRAN Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak terlibat dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyebabkan sukar untuk suruhanjaya itu menjalankan tugas, kata pengerusinya Razali Ismail.

“Tidak ada mana-mana menteri yang mahu bercakap dengan kami dan di Malaysia, semuanya datang dari pihak atasan.

“Ia sangat sukar. Bagaimana kamu mahu wakili aspirasi rakyat dan keperluan untuk perubahan apabila kamu sendiri tidak pandang kami,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Hak Asasi Manusia di Petaling Jaya hari ini.

Beliau juga berkata Suhakam digunakan sebagai “perhiasan” oleh pemerintah sebelum ini untuk memperlihatkan kepada dunia bahawa negara itu mempunyai suruhanjaya untuk hak asasi manusia.

“Ya, mereka menggunakan kami hanya sebagai perhiasan untuk memberitahu dunia bahawa kita mempunyai suruhanjaya hak asasi manusia ... hanya jika perlu bagi mereka. Sebenarnya, mereka tidak komited untuk berbuat demikian,” katanya sambil menambah terdapat banyak protokol sebelumnya.

Mengenai kerajaan Pakatan Harapan, Razali berkata pihaknya sedang melaksanakannya untuk membuat perubahan di seluruh negara.

Sementara itu, pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph berkata kerajaan PH juga menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan suruhanjaya itu.

Beliau berkata Suhakam telah bertemu dengan Peguam Negara dan lapan menteri dalam masa enam bulan PH mengambil alih Putrajaya.

“Dalam tempoh enam bulan pertama, suruhanjaya telah bertemu dengan lapan menteri dan Peguam Negara dan minggu depan kita bertemu menteri lain.

“Itu menunjukkan keterbukaan dan kesanggupan mereka untuk bekerjasama dengan kami hanya masa hanya enam bulan,” katanya.

Program Suhakam itu ditunda semalam ke hari ini atas nasihat polis, berikutan pertembungan dengan himpunan anti-ICERD di ibu negara semalam.– 9 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen