SEORANG pemain luncur air cedera parah diserang jerung di pantai barat Australia, kata pihak berkuasa dalam insiden terkini beberapa serangan sejak beberapa bulan terakhir.
Mangsa berusia 36 tahun itu sedang meluncur di pantai Scotts Head kira-kira 490km di utara Sydney ketika digigit jerung, kata polis New South Wales.
“Lelaki itu mengalami kecederaan serius di bawah lutut, kaki kanannya,” kata jurucakap ambulans NSW.
“Dia juga kehilangan banyak darah.”
Mangsa berada dalam air laut bersama beberapa pemain luncur yang lain sebelum tiba-tiba hilang, kata Surf Life Saving NSW.
“Salah seorang daripada mereka nampak mangsa hilang ke dalam air, dengan ombak air dan kemudian nampak tangan mangsa mengangkat tangan menandakan sedang berdepan masalah,” kata jurucakap Surf Life Saving Donna Wishart.
Mangsa kemudian diterbangkan ke hospital kerana kecederaan yang serius.
Pihak berkuasa berkata setakat ini belum diketahui spesies jerung yang menyerangnya.
Serangan itu yang kelapan di pantai Australia dalam tempoh tiga bulan ini, ketika perdebatan umum sedang hebat dilakukan tentang bagaimana mengurangkan risiko pertembungan jerung dengan orang ramai yang semakin ramai menggunakan pantai untuk hiburan. – AFP, 9 Disember, 2018.
Komen