Negara nikmati kejayaan lebih besar jika hak asasi manusia dihormati


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi Suhakam, Razali Ismail berkata negara mampu menjadi contoh kepada negara lain apabila hak asasi manusia dihormati.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Disember, 2018  

BANYAK kerajaan mampu mencapai kejayaan ekonomi kerana mereka menghormati hak asasi manusia, kata Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Razali Ismail. 

Bercakap pada pelancaran sambutan Hari Hak Asasi Manusia hari ini, Razali menyatakan hak asasi manusia membolehkan negara menikmati kejayaan yang kolektif. 

“Negara lain mencapai kejayaan besar kerana mereka menghormati hak asasi manusia dan hak asasi manusia akan memperkasakan seluruh negara untuk menikmati kejayaan kolektif.

“Rakyat yang menginginkan kebebasan dari kemiskinan dan rakyat di negara-negara yang dibina di atas kebebasan ekonomi yang lebih besar menikmati akses kepada idea dan sumber yang lebih baik untuk berpartisipasi sepenuhnya dalam dunia yang semakin saling terhubung dan berdaya saing, tidak ada yang tinggal di belakang dan kita tidak boleh terus meninggalkan Orang Asli di belakang,” katanya yang juga bekas diplomat di Petaling Jaya.

Razali yang juga bekas Duta Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu ke Myanmar, berkata keunikan Malaysia sebagai negara yang memiliki kepelbagaian boleh menjadi model kepada negara jiran. 

“Tiada apa-apa yang akan membuat saya berasa lebih baik daripada melihat pemerkasaan hak asasi manusia yang mempunyai kesan di rantau ini dan di dunia. Rantau ini mempunyai terlalu banyak negara berkuasa tunggal dan orang-orang yang berani untuk perubahan.
 
“Sebagai sebuah negara berbilang etnik yang hidup dengan damai, penghormatan kita antara satu sama lain dapat menjadi contoh untuk orang lain dan toleransi kita menjadi faktor penting yang mendorong kita dalam sektor ekonomi sosial dan dari segi KDNK,” tambahnya.

Bagaimanapun, dalam mengingati sambutan Hari Hak Asasi Manusia, Razali berkata beliau kecewa dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang gagal menangani konflik di Yaman, Palestin, Syria dan Myanmar.

“Hari ini, kita perlu mengingati penderitaan saudara kita di Yaman, Palestin, Syria dan Myanmar.

“Saya amat kecewa dengan mekanisme PBB, terutamanya Majlis Keselamatan. 

“Ia gagal menangani konflik dan PBB sendiri tidak mempunyai hala tuju yang jelas menegani perang yang sedang berlarutan. Peperangan di Yaman menyebabkan 130 nyawa kanak-kanak terkorban setiap hari akibat kebuluran. 

“Kira-kira 1.8 juta kanak-kanak menderita kerana kebuluran dan ini berlaku bla kita menolak hak asasi manusia atau bila termanya dimanipulasi,” katanya. 

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof mewakili Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, merasmikan program itu hari ini. 

Program Suhakam itu ditunda dari semalam ke hari ini atas nasihat polis, kerana tarikhnya bertembung dengan perhimpunan anti-ICERD semalam. – 9 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen