TIADA apa yang akan dirampas dengan memperkasakan hak asasi manusia kerana ia diajar dan diamalkan dalam setiap agama yang cintakan keamanan di dunia, kata Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Razali Ismail hari ini.
Beliau berkata hak asasi manusia selalu dianggap sebagai ancaman kepada agama, sedangkan hakikatnya hak asasi manusia dan agama adalah berkait antara satu sama lain.
“Hak asasi manusia selalu dianggap sebagai ancaman kepada agama yang mana ia tidak benar, salah faham ini perlu diperbetulkan,” katanya pada program sambutan Hari Hak Asasi Manusia.
“Islam merupakan agama yang menonjolkan martabat, dan itulah apa yang diperjuangkan hak asasi manusia, untuk semua orang mendapat kesamarataan dan hormat sebagaimana orang lain.”
Bekas presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu itu juga berkata menjalankan hak asasi manusia tidak akan merampas sebarang hak keistimewaan yang dinikmati oleh beberapa pihak di negara ini kerana hak itu dilindungi Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan tiada masyarakat yang boleh dianggap sebagai berbilang kaum sekiranya pintu diskriminasi dibiarkan terbuka.

“Apabila kita bercakap tentang hak asasi manusia, saya tahu ramai antara kita bimbang dengan hak keistimewaan tergugat.
“Kita tidak perlu bimbang kerana dalam perlembagaan persekutuan, hak dan keistimewaan ini jelas dinyatakan dan dilindungi.”
Ucapan beliau dilihat merujuk kepada Umat Islam dan Melayu yang berhimpun bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).
Semalam, puluhan ribu Melayu berhaluan kanan berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap konvensyen berkenaan kerana percaya ratifikasi itu akan menjejaskan hak Melayu dan Islam.
Razali mengesahkan Suhakam akan terus menegakkan perlembagaan dan menjaga Rukun Negara walaupun terdapat pihak yang menuduh badan hak asasi manusia itu menjadi alat kepada agenda barat.
“Apabila kita meemilih untuk perubahan bagi Malaysia baru, kita putuskan untuk tidak memilih kerajaan yang buruk. Kita putuskan untuk menolak penyelewengan.
“Penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan banyak lagi salah laku merupakan pelanggaran hak asasi manusia. Apa yang kita lakukan pada hari bersejarah itu bersama sebagai rakyat Malaysia, sama ada kita sedar atau tidak, adalah untuk menegakkan hak asasi manusia.”
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusoff mewakili Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad merasmikan program itu hari ini.
Program Suhakam itu ditunda semalam ke hari ini atas nasihat polis, berikutan pertembungan dengan himpunan anti-ICERD di ibu negara semalam.– 9 Disember, 2018
Komen