PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri khas Sabah Rabu ini bertujuan melanjutkan tempoh jawatan Yang di-Pertua Negeri untuk membolehkan Shafie Apdal mengukuhkan kedudukannya di negeri itu, kata sumber.
Ketua menteri Sabah itu mahu melanjutkan penggal Juhar Mahiruddin kerana beliau dikatakan mahu mengawal sebarang kemungkinan wakil rakyat yang belot daripada gabungannya dan menyertai pembangkang.
Pengkritik Shafie percaya masih ada Adun akan meninggalkan kerajaan gabungan yang diketuai oleh Parti Warisan Sabah.
Ahli lain dalam pakatan itu ialah DAP, PKR dan United Pasok Momogun KadazanDusun Murut Organisation (Upko).
Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa mempunyai gabenor yang mesra dengan pihaknya akan membantu kerajaan penyandang jika berlaku sebarang usaha menggulingkannya.
Pada masa ini, kerajaan diketuai Warisan itu mempunyai 44 Adun. Kerajaan akan tumbang sekiranya 15 Adun berpaling tadah. Cakap-cakap tentang lompat parti juga sudah menjadi perkara biasa di Sabah.
Sumber di sidang DUN mengesahkan ada usaha untuk membentangkan pindaan kepada perlembagaan negeri dan berkata ia akan membolehkan Juhar kekal lebih lama dalam jawatan itu, melebihi had dua penggal. Tempoh yang ditetapkan untuk setiap penggal adalah empat tahun.
Perlembagaan Sabah mengehadkan tempoh lantikan sebagai ketua negeri untuk dua penggal (lapan tahun) dan penggal Juhar dijadualkan tamat pada 2 Januari tahun depan.
Beliau dilantik ke jawatan itu pada 2 Januari, 2011 menggantikan Ahmadshah Abdullah, dan mengangkat sumpah sekali lagi untuk penggal kedua pada 2 Januari, 2015.
Jika langkah itu berjaya, Juhar bukan saja akan menjadi Yang di Pertua pertama berkhidmat lebih lapan tahun, tetapi sebagai ketua negeri paling lama berkhidmat dalam sejarah Sabah.
“Kerajaan negeri bercadang untuk meminda perlembagaan itu dan mengadakan pengundian pada hari sama. Mereka akan cuba untuk lakukan semuanya dalam persidangan sehari itu,” kata sumber.
Pada 22 November, Shafie mengumumkan akan mengadakan persidangan DUN khas sehari bagi meminda antara lain, Ordinan Tanah Sabah bagi membolehkan kerajaan negeri mengikut jejak Sarawak yang membolehkan mengenakan cukai jualan 5% terhadap produk petroleum, selain perlembagaan negeri.
Langkah itu mudah dilaksanakan kerana Warisan sebagai gabungan pemerintah mempunyai 44 wakil rakyat termasuk bebas, daripada 65 Adun. Majoriti dua pertiga diperlukan bagi meminda perlembagaan negeri.
Pembantu Menteri di Pejabat Ketua Menteri Jimmy Wong memberitahu The Malaysian Insight, tidak ada salahnya memohon lanjutan selagi ketua negeri berkenaan sihat dan dapat bertugas.
Juhar pada masa ini berusia 65 tahun.
“Saya rasa tidak ada salahnya. Kalau lebih pun ia tidak menjejaskan politik dan rakyat Sabah,” kata penasihat DAP Sabah itu.
Setiausaha Umno Sabah Masidi Manjun pula berkata: “Kami belum buat keputusan tentang perkara itu.”
The Malaysian Insight bagaimanapun dimaklumkan ketua penerangan Umno negeri Hajiji Mohd Noor tidak begitu gemar dengan rancangan meminda perlembagaan.
Individu yang rapat dengan Adun Sulaman itu juga difahamkan akan membantah usul berkenaan.
Pemerhati politik Clarence Sinsua berkata tidak ada keperluan untuk kerajaan meminda perlembagaan “yang baik” kerana sukar bagi kerajaan negeri untuk mendapatkan majoriti dua pertiga. – 10 Disember, 2018.
Komen