Lelaki dituduh bunuh pelancong Britain di New Zealand


Grace Millane, 22, dilihat kali terakhir pada minggu lalu ketika memasuki sebuah hotel di bandar Auckland bersama seorang lelaki. – Gambar Facebook, 9 Disember, 2018.

SEORANG lelaki dituduh membunuh pelancong “backpacker” Britain yang dilaporkan hilang di New Zealand dan operasi mencari masih dijalankan untuk mengesan mayat mangsa.

Grace Millane, 22, dilihat kali terakhir pada minggu lalu ketika memasuki sebuah hotel dalam bandar di Auckland bersama seorang lelaki.

Polis berkata suspek berusia 26 tahun itu dituduh membunuh gadis berkenaan selepas ditahan untuk soal siasat selama beberapa jam semalam dan dijangka dihadapkan ke mahkamah esok.

“Grace sudah meninggal dunia,” kata Inspektor Scott Beard sambil memetik beberapa bukti yang ditemui semasa soal siasat itu.

“Kami masih belum mengetahui lokasi mayat Grace tetapi akan meneruskan pencarian dan memulangkan gadis itu kepada keluarganya,” kata Beard.

Milane sedang bercuti selama setahun untuk mengelilingi dunia selepas menamatkan pengajian di universiti dan akan berhubung dengan keluarganya setiap hari sehinggalah malam sebelum ulang tahun kelahirannya ke-22 minggu lalu.

Bapa mangsa, David yang melaporkan kehilangan anaknya tiba di New Zealand Jumaat lalu dan merayu untuk sebarang maklumat berkaitan Grace yang disifatkan sebagai seorang periang, lincah serta amat mementingkan keluarga.

Polis berkata tiada tanda Milane mengenali suspek yang memasuki hotel berkenaan bersamanya namun pada masa sama, enggan membuat spekulasi berhubung perkenalan mereka. – AFP, 9 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen