PENUNJUK perasaan “ves kuning” bertembung dengan polis rusuhan di Paris semalam dalam insiden terbaru bantahan terhadap Presiden Emmanuel Macron, tetapi tiada kemusnahan berskala besar seperti minggu lalu.
Namun, penunjuk perasaan tetap membakar kereta, pengadang dan memecahkan tingkap dalam kejadian keganasan di seluruh ibu kota itu, dengan memakai jaket keselamatan berwarna kuning terang, berlawan dengan kereta kebal yang membuat pemantauan di jalan-jalan utama.
“Berpuluh-puluh pemilik kedai menjadi mangsa mereka yang mengganas itu,” kata Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo di Twitter.
Pertembungan turut berlaku di beberapa bandar lain termasuk Marseille, Bordeaux, Lyon dan Toulouse, ketika bantahan seluruh negara masuk minggu keempat, terhadap kos sara hidup dan Macron secara amnya.
Di Paris, laungan “Macron, letak jawatan” saling bercampur dengan gas pemedih mata yang dilemparkan ke arah ribuan orang di kawasan Champs-Elysees.
Asap hitam tebal kelihatan di angkasa. Beberapa kedai dan kafe Starbucks dirempuh.
Kejadian keganasan semalam lebih kecil berbanding minggu lalu, di mana kira-kira 200 kereta dibakar dalam rusuhan paling teruk di Paris sejak berdekad lalu.
Kerajaan berikrar untuk tiada toleransi terhadap anarkis, penunjuk perasaan yang melakukan keganasan bagi memburukkan lagi protes.
Perdana Menteri Edouard Philippe mengucapkan tahniah kepada operasi polis, dan berjanji Macron akan menangani kebimbangan penunjuk perasaan.
“Dialog sudah diadakan dan ia perlu diteruskan. Presiden akan bercakap dan akan mencadangkan langkah sewajarnya,” kata Philippe.
Polis menempatkan 8,000 anggota di seluruh ibu kota itu, dengan kereta kebal dihantar ke Paris buat pertama kalinya.
Lebih 650 penunjuk perasaan ditangkap di ibu kota itu, dengan kebanyakannya ditahan ketika tiba di stesen kereta api atau lokasi pertemuan dengan membawa tukul besi dan alat lain yang boleh dijadikan senjata.
Kedai di sepanjang Champs-Elysees ditutup. Menara Eiffel, muzium-muzium utama dan kebanyakan stesen metro turut ditutup ketika sebahagian besar daripada Paris tidak berfungsi. – AFP, 9 Disember, 2018.
Komen