HIMPUNAN ‘ves kuning’ bagi mendesak Presiden Perancis meletak jawatan, dicemari keganasan apabila polis antirusuhan bertempur dengan penunjuk perasaan yang membanjiri Paris.
Laungan “Macron, letak jawatan’ diselangi dengan bunyi tembakan gas pemedih mata di Champs-Elysees, lokasi pertempuran paling teruk berlaku antara kedua-dua pihak.
Asap tebal juga kelihatan ekoran tindakan penunjuk perasaan membakar tayar di beberapa lokasi di bandar itu.
Kerajaan terpaksa mengerahkan kenderaan berperisai bagi mengekang keganasan daripada merebak dan mencetuskan insiden yang tidak diingin,
Di kawasan beli-belah Grand Boulevards, penunjuk perasaan bertopeng melemparkan batu ke arah polis antirusuhan dan membakar penghadang yang dibina menggunakan pokok Krismas dan tong sampah.
Himpunan ves kuning itu juga menyebabkan beberapa jalan utama terjejas teruk, sekali gus mencetuskan huru-hara bagi rangkaian trafik negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez berkata kira-kira 31,000 orang menyertai bantahan di seluruh negara, termasuk 8,000 orang di Paris.
Katanya seramai 700 individu telah ditahan, kebanyakannya di ibu negara.
Polis turut melakukan pemeriksaan terhadap orang ramai yang tiba di stesen tren dan merampas barangan yang boleh digunakan sebagai senjata selain topeng yang dipakai untuk mengelak kesan gas pemedih mata.
Ada individu yang ditahan kerana membawa penukul, lastik dan batu.
Kebanyakan kawasan pusat bandar terjejas teruk apabila semua kedai, muzium, menara Eiffel dan stesen metro ditutup.
Beberapa perlawanan bola sepak liga utama dan konsert juga terpaksa dibatalkan.
Minggu lalu, keganasan yang lebih teruk menyaksikan lebih 200 buah kereta dibakar, sekali gus mengheret kerajaan Macron ke krisis yang lebih buruk.
Bantahan itu diadakan bagi mendesak Macron meletak jawatan ekoran keputusan beliau menaikkan cukai bahan bakar. – AFP, 8 Disember, 2018.
Komen