Rusia tawar bantuan politik kepada Trump sejak 2015


PENDAKWA Raya Amerika Syarikat (AS) mendedahkan tindakan Rusia menawarkan kerjasama kepada pasukan kempen Donald Trump seawal 2015.

Pendedahan itu sekali gus menunjukkan bekas peguam presiden Michael Cohen telah memberi bantuan yang relevan dan mencukupi dalam membantu siasatan skandal penglibatan Rusia dalam pilihan raya presiden AS pada 2016.

Robert Mueller, yang mengetuai siasatan campur tangan Rusia dalam pilihan raya tersebut, berkata Cohen melakukan usaha yang cukup dan penting bagi menebus kesalahannya dalam kes penipuan bank dan pelanggaran undang-undagn kewangan kempen.

Katanya, Cohen terus memberikan maklumat yang relevan dan boleh dipercayai bagi membantu siasatan.

Beliau turut menyediakan maklumat tentang hubungan melibatkan kepentingan Rusia semasa kempen itu, usaha Moscow untuk terlibat dalam kempen dan hubungan antara individu yang berkait dengan White House.

Berdasarkan pendedahan tersebut, Cohen menerima jemputan untuk bertemu individu penting kerajaan Rusia yang menawarkan bantuan politik kepada Trump pada November 2015, lima bulan selepas beliau mengumumkan mahu bertanding sebagai presiden.

Cohen berkata individu tersebut yang berulang kali mahu mengatur pertemuan antara Trump dan Presiden Vladimir Putin, mendakwa ia boleh memberi kesan besar, bukan sekadar dalam politik tetapi juga perniagaan.

Cohen bagaimanapun tidak membuat susulan terhadap jemputan itu, dedah pendakwa raya AS. 

Dalam kes berasingan, pendakwa raya persekutuan meminta tempoh penjara yang mencukupi antara 51 hingga 63 bulan ke atas Cohen kerana melakukan penipuan bank dan melanggar undang-undang kewangan kempen selepas beliau mengaku bersalah pada Ogos lalu.

Pendakwa raya AS Rober Khuzami mendakwa lelaki berusia 52 tahun itu yang pernah bersumpah sanggup mati demi presiden, bermofitkan sifat tamak dan berulang kali menggunakan kuasa dan pengaruh demi kepentingan diri.

Namun kes pelanggaran undang-undang kewangan kempen itu tidak mempunyai kaitan dengan siasatan skandal Rusia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen