GOLONGAN pelajar Australia mengetuai ribuan penunjuk perasaan di seluruh negara hari ini bagi membantah rancangan syarikat perlombongan India, Adani untuk membina lombong arang batu di timur laut negara ini.
Bantahan itu berlangsung di seluruh bandar-bandar utama ekoran satu tunjuk perasaan pada bulan lalu dilakukan oleh pelajar Australia terhadap Perdana Menteri Scott Morrison bagi menangani isu perubahan iklim.
Pelajar sekolah itu menjemput golongan dewasa untuk menyertai bantahan tersebut bagi membantu meningkatkan jumlah penyertaan.
Firma Adani pada bulan lalu mengumumkan akan meneruskan pelan membina lombong kontroversi arang batu di Queensland dan proses pembinaan akan dilakasanakan dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Penunjuk perasaan termasuk pelajar sekolah berusia antara 12 hingga 14 tahun itu menggesa kerajaan dan pembangkang untuk menghentikan projek itu.
Bulan lalu, perdana menteri berkata kanak-kanak perlu ke sekolah selepas ditanya mengenai penyertaan golongan itu dalam bantahan tersebut. – AFP, 8 Disember, 2018.
Komen