KERAJAAN tidak akan membuat sebarang perjanjian dengan ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Low Taek Jhow atau Jho Low, tegas Perdana Menteri.
Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan juga tidak akan menawarkan immuniti atau mengurangkan hukuman yang dikenakan ke atas Jho Low atas penglibatannya dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
“Tiada perjanjian,” kata Dr Mahathir apabila ditanya mengenai perkara itu selepas mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan di Petaling Jaya hari ini.
Turut hadir Presiden PKR Anwar Ibrahim, Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo dan beberapa pemimpin parti komponen PH yang lain.
Dr Mahathir berkata Jho Low perlu menyerah diri kepada polis dan Putrajaya tidak akan mencampuri urusan mahkamah seperti yang didakwa ahli perniagaan dari Pulau Pinang itu menerusi kenyataan oleh peguamnya.
“Beliau tahu dirinya bersalah. Jadi apabila bersalah, beliau mendakwa perbicaraan tidak akan berlaku dengan adil,” kata Dr Mahathir.
“Tetapi hakim di Malaysia adil. Kita semua perlu dibicarakan di mahkamah. Kita tidak boleh mengelak dakwaan atau mendapatkan hakim lain untuk diri kita.
“Kita perlu menerima kenyataan bahawa institusi kehakiman tidak dipengaruhi kerajaan.” – 8 Disember, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen