Pakatan tidak sempurna, kata Dr Mahathir


Bede Hong

Perdana Mahathir Mohamad berkata skim pembayaran semula pinjaman PTPTN akan dikaji semula selepas menerima bantahan daripada banyak pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2018.

TIDAK semua perkara akan berlaku seperti dirancang.

Demikian jawapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad apabila mengulas tentang isu yang dihadapi kerajaan melibatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan prestasi Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Ada kala perkara yang kita tidak jangka berlaku, tetapi ia berlaku.

“Sebagai contoh, kita tidak menjangkakan Pakatan Harapan memenangi pilihan raya. Kita tidak lari dari kesilapan. Ada kalanya perkara berlaku apabila mereka tidak mejangkakannya.

“Seorang individu yang sedang berjalan boleh dilanggar kereta secara tiba-tiba. Maaf,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat presiden Pakatan Harapan di Petaling Jaya hari ini.

Beliau ditanya sama ada prestasi Maszlee akan diteliti semula susulan perkembangan terbaru mengenai skim pembayaran semula pinjaman PTPTN.

Maszlee mengumumkan penggantungan skim pembayaran itu hanya dua hari selepas diumumkan oleh PTPTN.

Skim itu yang sepatutnya bermula pada Januari akan mengenakan potongan antara 2% hingga 15% bergantung kepada pendapatan peminjam dengan bermula gaji serendah RM2,000.

Ia diumumkan oleh Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan pada Rabu tetapi semalam Kabinet memutuskan untuk menggantung pelaksanaannya sehingga mendapat maklum balas daripada semua pihak berkepentingan.

Dr Mahathir berkata satu skim pembayaran semula yang telah diubahsuai akan diumumkan tidak lama lagi.

“Banyak bantahan dibuat. Kita perlu mengambil kira pendapatan rakyat. Disebabkan bantahan itu, kita akan mengubah dan mengumumkannya tidak lama lagi.”

Berhubung kritikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan dilabel sebagai ‘kerajaan u-turn’, Mahathir berkata, pihaknya hanya berbuat demikian apabila perlu.

“Ada kalanya, apabila kita melalui jalan yang salah, kita perlu berpusing semula.

“Kita bukan manusia sempurna. Walaupun kebanyakan daripada kita merupakan orang baik, tetapi kesilapan tetap berlaku.

“Apabila orang baik melakukan kesilapan, mereka akan berpusing semula (perbetul kesilapan),” katanya.

Maszlee and Wan Saiful, kedua-duanya dari Bersatu, sering menjadi sasaran kritikan pembangkang sejak kerajaan baharu mengambil-alih kuasa.

Antara isu yang menjadi mainan pembangkang adalah PTPTN selepas kerajaan gagal menunaikan janji untuk membenarkan peminjam membayar semula apabila mencecah pendapatan RM4,000. – 8 Disember, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen