Malaysia, Singapura masih berunding, kata PM


Bede Hong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengulas tentang pertikaian yang tercetus antara Malaysia dan Singapura baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2018.

PUTRAJAYA masih berbincang dengan Singapura untuk menyelesaikan isu pertikaian ruang udara dan sempadan maritim kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Perkara yang penting adalah Singapura bersetuju untuk berunding. Jadi, sehingga kita selesai berunding, ki9ta tidak boleh menyatakan sebarang jawapan akhir (berhubung isu tersebut,” katanya di Petaling Jaya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan.

“Ramai pihak mengumumkan sempadan mereka. Ia menyebabkan banyak pertikaian. Kita akan menyelesaikan isu pertikaian berdasarkan peruntukan perundangan dan hak kita,” katanya.

Selasa lalu, Singapura mengemukakan bantahan keras terhadap Putrajaya kerana mengubah had sebuah pelabuhan di Johor.

Republik itu berkata Malaysia telah memperluaskan had pelabuhan jauh ke bahagian timur melebihi kawasan perairan yang dituntut Putrajaya dan dipaparkan dalam peta pada 1979. 

Singapura menggesa Malaysia untuk menghentikan sebarang tindakan sehala dan meminda pemberitahuan gazet kerajaan yang diterbitkan pada akhir Oktober ‘untuk mencerminkan kedaulatan Singapura ke atas perairan yang menjadi pertikaian’.

Kementerian Pengangkutan Singapura juga berkata kapal-kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim dan Jabatan Marin Malaysia berulang-kali menceroboh kawasan perairan republik itu di Tuas dalam tempoh dua minggu lalu.

Dr Mahathir menafikan dakwaan bahawa Malaysia menceroboh sempadan Singapura.

Pada Jumaat, Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan berkata Singapura memperluaskan had pelabuhannya di Tuas dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap penceroboh bagi melindungi wilayah dan kedauatalannya. – 8 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen