PUTRAJAYA akan kaji untuk menyerap semula pegawai yang ditamatkan tugas selepas kerajaan menutup agensi terlibat, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir mengakui bahawa terdapat kakitangan yang menjadi mangsa apabila agensi itu ditutup.
“Agensi kerajaan itu dipergunakan oleh parti politik. Jadi kita kena hentikan agensi ini dan apabila kita buat begitu, ramai pegawai kehilangan kerja.
“Ini adalah perkara yang kita perlu kaji semula sama ada individu ini terlibat atau tidak dan sama ada mereka boleh teruskan kerja mereka,” katanya kepada pemberita di Petaling Jaya.
Dr Mahathir seterusnya menjelaskan, agensi berkenaan tidak akan dihidupkan semula kerana kerajaan tidak mempunyai dana dan hasil kerajaan tidak cukup untuk membiaya operasinya.
“Ada orang yang jadi mangsa tindakan kita. Kita akan dengar (sungutan mereka) kerana majoritinya tidak terlibat dalam politik tetapi hanya menjadi penjawat awam,” katanya.
Dr Mahathir bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah pegawai yang akan dipertimbangkan untuk diserap semula ke dalam kerajaan.
“Kami sedang kumpul data mengenai individu yang kehilangan sumber pendapatan,” katanya.
Katanya perkara itu dibibincangkan dalam mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan hari ini.
Mesyuarat itu antara lain dihadiri Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo.
Pada Julai lalu, kerajaan mengummumkan untuk memansuhkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Hal Ehwal Khas, Majlis Profesor Negara dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan.
Katanya, agensi berkenaan disalah guna sebagai alat politik oleh petandbiran Barisan Nasional sebelum ini.
Agensi penarafan Moody’s menganggarkan, langkah memansuhkan agensi tersebut membolehkan Putrajaya menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM500 juta.– 8 Disember, 2018
Komen