Dr Mahathir enggan hadir sebab Suhakam sokong ICERD


Bede Hong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan permintaan polis agar Suhakam menunda sambutan yang sepatutnya diadakan di Petaling Jaya hari ini atas sebab keselamatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2018

DR Mahathir Mohamad menjelaskan beliau tidak akan hadir ke sambutan hari hak asasi manusia anjuran Suhakam kerana suruhanjaya itu menyokong ICERD.

Beliau juga tidak akan hadir ke acara tersebut esok kerana kerajaan memutuskan untuk tidak meratifikasi konvensyen kontroversi itu, kata perdana menteri.

“Saya memutuskan kami tidak akan menerima ICERD dan Suhakam mahu menerima ICERD, jadi macam mana saya hendak pergi?” katanya kepada pemberita di Petaling Jaya.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan yang dihadiri presiden PKR Anwar Ibrahim, presiden Amanah Mohamad Sabu dan timbalan pengerusi DAP Gobind Singh Deo.

Dr Mahathir juga mempertahankan permintaan polis agar Suhakam menunda sambutan yang sepatutnya diadakan di Petaling Jaya hari ini atas sebab keselamatan.

Jelasnya, polis terpaksa menugaskan anggotanya ke dua lokasi berbeza jika terdapat dua perhipunan berjalan serentak.

Katanya, kerajaan juga bimbang perhimpunan anti-ICERD akan menyebabkan ramai anggota polis bertugas.

“Ia ditunda ke hari lain supaya polis tidak tertekan. Polis mungkin tidak cukup anggota untuk memantau semua tempat,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyindir parti PAS, Umno dan kumpulan NGO Melayu yang menjangka kehadiran ribuan orang ke perhimpunan tersebut.

“Perhimpunan hari ini hanya dihadiri oleh kumpulan tertentu, saya ingin ucap tahniah kepada mereka sebab berhimpun untuk ucap syukur kepada kerajaan,” katanya. – 8 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen