PUTRAJAYA perlu menyediakan peruntukan mencukupi untuk menghapuskan korupsi dalam jabatan kerajaan, kata Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji.
Arshad yang merupakan ahli Jawatankuasa Perubahan Institusi (IRC) berkata, salah satu isu yang kerap dibangkitkan ketika bercakap dengan semua agensi kerajaan adalah masalah korupsi.
Beliau memberikan contoh Jabatan Imigresen yang bergelut dengan pelbagai masalah kerana kekurangan peruntukan.
“Mereka perlukan peralatan canggih untuk pantau sempadan dan kakitangan mereka, tetapi mereka tak dapat peruntukan cukup.
“Jika kita mahu mereka hapuskan korupsi, kerajaan perlu sediakan peruntukan mencukupi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Arshad berkata peruntukan mencukupi akan membantu mengekang pekerja haram memasuki negara ini serta menghalang penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
“Kami harap ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.”
IRC sudah mengumpul maklum balas pergerakan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain untuk mencapai status masyarakat bebas korupsi sebelum membuat laporan untuk dihantar kepada Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin Julai lalu.
Jawatankuasa itu menerima lebih 1,000 penghantaran dalam tempoh lebih dua bulan selepas pilihan raya umum 9 Mei. Majlis Penasihat Kerajaan kemudiannya menghantar laporan itu kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Arshad berkata cadangan dihantar yang tidak memerlukan pindaan Perlembagaan atau perlu kelulusan Parlimen perlu dilaksanakan serta merta.
“Ada cadangan yang mengambil masa kerana ia memerlukan kelulusan Parlimen. Kami faham yang mustahil untuk mengubah semua perkara.
“Tetapi, mereka (kerajaan) perlu melaksanakan perkara yang tidak memerlukan pindaan Perlembagaan.”
Arshad berkata salah satu cadangan adalah pemansuhan undang-undang hukuman mati.
“Kami juga mencadangkan penstukturan semula organisasi ketua jabatan dalam pasukan polis yang kini sedang dilaksanakan.
“Tetapi kerajaan tidak seharusnya menangguhkan apa yang mereka boleh laksanakan sekarang,” katanya.
Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong berkata hukuman mati akan dibatalkan untuk 33 jenis kesalahan, tetapi masih tidak ada rang undang-undang yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
Seorang lagi ahli IRC, Mah Weng Kwai berkata Putrajaya perlu mendedahkan laporan jawatankuasa itu kepada rakyat serta merta.
Katanya, mereka masih belum menerima maklum balas daripada kerajaan walaupun laporan sudah dihantar lima bulan lepas.
Selain Arshad dan Mah, IRC juga dianggotai Presiden Hakam Ambiga Sreenevasan, hakim bersara Mahkamah Rayuan K C Vohrah dan Profesor Undang-Undang Universiti Malaya Shad Saleem Faruqi. – 18 Disember, 2018.
Komen