RIBUAN ahli Umno dan PAS serta NGO berasaskan Melayu dan Islam dari seluruh negara dijangka berkumpul di ibu negara hari ini untuk meraikan kejayaan mereka membantah Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Mereka dijadualkan berkumpul di lima lokasi berbeza mengikut negeri sebelum berarak ke Dataran Merdeka, pada kira-kira jam 12.30 tengahari sebelum perhimpunan itu bermula.
Peserta yang datang dari Kelantan dan Terengganu dijangka berkumpul di Sogo, manakala peserta dari Pahang, Selangor, dan Kuala Lumpur dijadualkan berkumpul di Dataran Merdeka dan Kampung Baru.
Peserta dari Kedah, Perak, Perlis, dan Pulau Pinang pula dijadualkan berkumpul di Masjid Negara, dan peserta dari Melaka, Negeri Sembilan, Johor akan berkumpul di Masjid Jamek.
Antara yang turut serta menyertai perhimpunan itu adalah 15 ahli pertubuhan membanteras maksiat di Kedah, yang dikenali sebagai Skuad Badar.
Pengasas Skuad Badar, Azhar Mohamad berkata mereka sudahpun bertolak ke Kuala Lumpur pada kira-kira jam 11.30 malam tadi menggunakan kenderaan masing-masing.
Katanya, mereka akan menyertai lima lagi ahli yang sudah bertolak ke Kuala Lumpur lebih awal bagi menguruskan logistik kumpulan itu.
Penganjur, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mensasarkan kehadiran seramai 500,000 peserta yang akan menyertai perhimpunan yang dipromosi dengan nama Daulat Himpunan 812 itu.
Ketua Kumpulan Gerakan Baju Merah Jamal Md Yunos juga berkata, pertubuhannya akan menggerakkan 35,000 ahlinya untuk menyertai himpunan tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Saarani Ahmad juga berkata, kira-kira 35,000 ahlinya dijangka turun ke ibu negara untuk menyertai perhimpunan tersebut secara sukarela.
“Kita ada hampir 2,000 cawangan Umno dan kita sudah kerahkan 20 orang setiap cawangan. Kebanyakan turun secara sukarela, ada yang naik bas express, ETS, dan naik kereta sendiri. Ada juga kutip duit sewa bas.
“Kehadiran kami dari Perak hendak tunjukkan begitu pentingnya berhimpun untuk bantah ICERD. Kita tidak percaya sikap flip-flop kerajaan kononnya mahu tolak ICERD,” katanya.
Setiausaha Umno Johor Samsol Bari Jamali pula berkata, parti itu mengerahkan tidak kurang 2,000 ahli untuk menyertai himpunan tersebut.
“Masing-masing keluar duit sendiri, kita dari Johor bas mungkin tak banyak, kita banyak yang naik kereta sendiri,” katanya.
Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Hussein pula menjangkakan seramai 5,000 hingga 6,000 ahlinya digerakkan ke ibu negara.
“Kita sebahagiannya sudah tiba, ada yang bergerak selewat-lewatnya selepas Subuh esok. Ada yang menaiki bas, kereta, van, dan motosikal sendiri untuk menyertai perhimpunan,” katanya.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dijangka memimpin peserta di Masjid Negara sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Tumpuan utama di perhimpunan itu adalah bekas perdana menteri Najib Razak yang dijangka akan memulakan pergerakannya dari ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Seterusnya beliau dijangka menaiki LRT ke Stesen Masjid Jamek, dan kemudiannya berarak ke Dataran Merdeka bersama penyokong.
Ketua NGO Pemantau Malaysia Baru Lokman Noor Adam berkata, perhimpunan di Dataran Merdeka dijangka bermula pukul 3 petang dan tamat kira-kira pukul 6 petang.

Sebaik sahaja kesemua berkumpul, para peserta akan mendengar ucapan demi ucapan oleh pemimpin utama parti politik dan NGO yang terlibat.
Turut dijangka menyertai perhimpunan itu adalah NGO Perkasa dan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah (Pekida).
Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali dan Presiden Pekida Jamaludin Yusuf berkata ahli boleh menyertainya atas kapasiti peribadi tetapi pertubuhan berkenaan tidak menyertai himpunan itu secara rasmi.
“Pendirian kita, ahli boleh sertai himpunan tapi atas kapasiti peribadi, kita tidak sertai secara rasmi, tapi terpulang kepada ahli,” kata Syed Hassan.
Selain itu, dijangka sekumpulan 300 ahli persatuan seni silat dari seluruh negara akan berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan sebelum berarak ke Istana Negara.
Kumpulan itu dijangka akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong, selepas Zohor.
Presiden PAS Abdul Hadi, dalam satu video mendakwa umat Islam wajib menyertai himpunan berkenaan kerana ia merupakan salah satu fardhu ain.
Perhimpunan itu akan dapat menyelamatkan negara kerana ICERD adalah ibarat Perjanjian Pangkor pada 1874 yang menjadi punca negara dijajah kuasa asing.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pula dalam kenyataannya petang semalam mengucapkan penghargaan sekiranya perhimpunan itu benar-benar dibuat untuk meraikan keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD.
“Bagi pihak kerajaan, jika perhimpunan itu diadakan atas dasar kesyukuran, kita mengucapkan terima kasih kerana sokongan yang ditunjukkan,” katanya. – 8 Disember, 2018.
Komen