WHO dedah setiap 24 saat, seorang maut di jalan raya


Jumlah kematian setiap tahun naik sekitar 100,000 sejak tiga tahun lepas, dengan kemalangan jalan raya kini adalah pembunuh utama kanak-kanak dan orang muda berusia antara lima dan 29 tahun, kata WHO. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2018.

KEMALANGAN jalan raya membunuh seorang setiap 24 saat, dengan jumlah kematian mencecah 1.35 juta orang di seluruh dunia setiap tahun, kata Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) semalam, mendesak tindakan kolektif dunia terhadapnya.

Jumlah kematian setiap tahun naik sekitar 100,000 sejak tiga tahun lepas, dengan kemalangan jalan raya kini adalah pembunuh utama kanak-kanak dan orang muda berusia antara lima dan 29 tahun, kata agensi itu dalam laporannya.

“Kematian ini adalah harga yang tidak boleh diterima untuk pergerakan,” kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan.

“Tidak ada alasan untuk tidak bertindak. Ini adalah masalah yang wujud penyelesaiannya,” katanya.

Laporan Status Global Mengenai Keselamatan Jalan Raya WHO adalah berdasarkan data pada 2016 menunjukkan masalah itu semakin meruncing.

Dalam laporan terakhirnya berdasarkan data 2013, jumlah kematian kerana kemalangan jalan raya dianggarkan mencecah 1.25 juta setiap tahun.

Tetapi walaupun wujud peningkatan jumlah kematian keseluruhan, kadar kematian berbanding jumlah populasi dan kereta dunia semakin stabil.

“Ia mencadangkan peraturan keselamatan jalan raya sedia ada di sesetengah negara berpendapatan tinggi dan sederhana boleh menghalang situasi ini,” kata WHO.

Ini disebabkan peraturan lebih baik melibatkan risiko utama, termasuklah had laju, memandu dan mabuk, dan kegagalan memakai tali pinggang kaledar, dan aspek keselamatan kanak-kanak, kata laporan.

Infrastruktur yang lebih selamat seperti laluan pejalan kaki dan pembawa basikal serta standard kenderaan yang lebih baik juga memberi manfaat.

Tetapi, walaupun banyak negara berusaha meningkatkan keselamatan jalan raya, banyak negara miskin masih jauh ketinggalan.

Menurut laporan dikeluarkan semalam itu, “tidak ada sebuahpun negara pendapatan rendah menunjukkan pengurangan jumlah kematian”, menambah yang risiko kemalangan jalan raya kekal tiga kali ganda berbanding di negara pendapatan tinggi.

Kadar kematian di Afrika terutamanya sangat tinggi, mencecah 26.6 kematian jalan raya untuk setiap 100,000 penduduk, berbanding hanya 9.3 di Eropah yang mempunyai kadar terendah di dunia.

Laporan semalam turut menyebut tentang separuh kematian adalah terdiri daripada pejalan kaki atau pembawa kenderaan dua roda.

Pejalan kaki dan basikal membentuk 26% kematian jalan raya, mencecah 44% di Afrika.

Pembawa dan pembonceng motosikal pula membentuk 28% kematian, tetapi jumlah itu meningkat 43% di Asia Tenggara, kata laporan itu lagi. – AFP, 8 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen