PENDAKWA RAYA Sepanyol dijangka akan memfailkan saman terhadap Shakira kerana didakwa mengelak cukai berjumlah 14.5 juta euro (AS$16.5 juta), dakwaan yang dinafikan peguam penyanyi terkenal itu, kata laporan semalam.
Akhbar El Pais berkata pendakwa raya sudah memberikan notis kepada peguam penyanyi menang anugerah kelahiran Colombia itu selepas siasatan kes dan memberitahu mereka tidak akan mengugurkan kes tersebut, bermakna mereka akan memfailkan saman dalam beberapa hari lagi atas tuduhan penipuan cukai.
Jurucakap pejabat pendakwa raya Sepanyol memberitahu AFP yang “masih tidak ada tindakan diambil”. Perkara itu “masih dalam siasatan”, katanya.
Shakira disyaki tidak membayar cukai di Sepanyol walaupun sudah menetap di negara itu antara tahun 2011 dan 2014, menurut pendakwa raya.
Kes itu hanya meliputi tahun 2012 hingga 2014, kerana tempoh masa untuk kesalahan 2011 sudah luput.
Sejak menjalinkan hubungannya pada 2011 dengan pemain Barcelona, Gerard Pique yang menerusinya Shakira mempunyai dua anak, penyanyi berusia 41 tahun itu memindahkan kediaman rasminya ke Sepanyol pada 2015.
Sebelum itu, beliau menetap di Bahamas.
Tetapi jurucakap pendakwa raya di Barcelona memberitahu AFP pada Februari yang situasi itu tidak mencerminkan kehidupannya dengan dua anak dan pasangannya di Barcelona.
Wakil Shakira bertegas yang sehingga 2014, beliau memperolehi sumber pendapatan dengan jelajah antarabangsa dan tidak tinggal lebih enam bulan setahun di Sepanyol- syarat untuk penduduk membayar cukai di negara itu.
Karyanya yang menampilkan gabungan Latin dan Arab serta muzik rock, Shakira adalah salah satu nama besar industri muzik Amerika Latin dengan pelbagai lagu terkenal seperti Hips Don’t Lie dan Whenever, Whenever.
Albumnya terjual lebih 60 juta unit. – AFP, 8 Disember, 2018.
Komen