Sigai dua segeragai kuil Seafield


K. Kabilan

Kemelut tanah kuil di Seafield mengheret pelbagai pihak ke dalamnya, isu yang mencetuskan rusuhan, konflik dan pertembungan kemajuan, agama dan kuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2018.

WALAUPUN rusuhan berlaku hampir dua minggu lalu, masih ada resah yang menyelubungi Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya, Selangor.

Penganut dan pengurusan kuil sedar bahawa kuil itu tidak akan bertahan lama melainkan pertikaian tanah yang mencengkamnya diselesaikan dengan baik.

Dua hari selepas rusuhan yang menyaksikan berpuluh cedera dan berbelas kenderaan dibakar, polis sudah menahan 71 orang suspek dan sudahpun mendakwa beberapa orang daripada mereka.

Buat masa sekarang, kerajaan Selangor meminta tempoh sehingga minggu hadapan untuk mengumumkan “situasi menang-menang” antara pengurusan kuil dan pemaju, One City Development Sdn Bhd yang bakal menentukan pihak manakah berhak ke atas tanah yang jadi rebutan.

Empat tahun lepas, kata putusnya adalah kuil itu akan dipindahkan menerusi penghakiman mahkamah apabila pemaju diberikan kuasa dan hak ke atas tanah tersebut untuk projek pembangunan.

Tetapi sekarang, kes itu kembali diheret ke mahkamah selepas jawatankuasa kuil memfailkan injuksi terhadap penghakiman tersebut. Kes itu akan didengar dan diputuskan nasibnya pada 11 Januari tahun depan.

Ahli perniagaan terkenal Vincent Tan juga jadi tumpuan ramai selepas beliau memulakan usaha jana dana untuk membeli tanah tersebut bagi pihak kuil.

Dalam kemelut ini, banyak suara lantang kedengaran. Ada yang mendakwa terlibat dalam isu kuil tersebut sejak awal lagi, ada juga yang mendakwa mereka hanya mahu membantu dengan niat yang baik.

The Malaysian Insight membuat penelitian terhadap peranan yang dimainkan pihak tertentu dalam isu kuil ini.

Rusuhan di kuil menyebabkan berbelas kenderaan dibakar dan ramai yang cedera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2018.

Jawatankuasa kuil

Jawatankuasa pertama kuil ini ditubuhkan pada 1993 dengan K Chellappa dinamakan sebagai presiden dan M Nagaraju pula dilantik sebagai setiausaha. Pada 1996, Chellappa memfailkan saman terhadap beberapa pihak untuk menentang usaha pengambilan tanah oleh pemaju- pada mulanya Sime UEP Properties Sdn Bhd, kemudiannya One City Development Sdn Bhd.

Tindakan itu menyebabkan kekeruhan hubungan antara Chellappa dan Nagaraju pada 2011, yang akhirnya memuncak apabila Nagaraju meletak jawatan. Beliau dan penyokongnya kemudian membentuk jawatankuasa untuk melindungi kuil tersebut.

Pada Mac 2014, Chellappa dan Nagaraju bersetuju menyerahkan tanah kuil kepada One City Development menerusi penghakiman bersama untuk saman sebelum ini. Bagaimanapun, pada Jun 2017, Nagaraju dan pasukannya menolak penghakiman bersama tersebut dan enggan berganjak dari tapak asal kuil.

Kumpulan Chellappa pula bersedia berpindah ke tapak baharu ditawarkan pemaju. Chellappa juga diiktiraf oleh mahkamah selaku ketua jawatankuasa kuil susulan saman berasingan difailkan Nagaraju untuk menuntut kuasa jawatankuasa kuil.

Jawatankuasa kuil sekarang diketuai oleh M Ramachandran yang bulan lepas memfailkan saman terbaru terhadap One City Development. Minggu lepas, Ramachandran dan 49 yang lain mendedak pemaju untuk tidak memindahkan kuil tersebut sehinggalah permohonan injuksi didengar pada 11 Januari.

Mereka memfailkan saman terhadap Chellapa, One City Development dan kerajaan Selangor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Waytha Moorthy melawat kuil tersebut, berjanji akan memulangkan tanah kepada pengurusan kuil. Beliau sedang disiasat kerana menghasut susulan kenyataan dikeluarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2018.

NGO dan aktivis

Susulan pertikaian dengan pemaju pada Oktober dan dalam usaha menstabilkan kepimpinan kuil menentang perpindahan, pengurusan kuil diambil alih oleh Pasukan Tindak Khas Selamatkan Kuil Seafield diketuai oleh S Ramaji.

Disokong sepenuhnya oleh kumpulan Nagaraju serta jawatankuasa kuil sekarang, Ramaju juga adalah seorang aktivis hak Hindu dikenali ramai, membawa isu kuil tersebut kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.

Dalam kempen untuk mengekalkan tapak sedia ada, NGO seperti Persatuan India Malaysia Progresif (Mipas) dan Persatuan Transformasi Pendidikan India Malaysia (Mieta) bergabung tenaga meluahkan sokongan terhadap perjuangan kuil tersebut.

Jurucakap aktivis, Elangovan Annamalai berhujah yang kuil di tapak sedia ada mempunyai nilai sejarah dan warisan kerana ia sudah wujud sejak 1891.

Malaysia Hindu Sangam, badan yang menyelia isu Hindu di negara ini pula menyokong Chellappa dalam isu perpindahan semula. Mereka mahu pengurusan kuil patuh kepada penghakiman bersama.

Pengurusan kuil mahu ia dikekalkan di tapak tanah sedia ada, memfailkan saman terbaru yang akan didengar Januari depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2018.

Pemaju

One City Development membeli tanah tapak kuil daripada Sime UEP pada 2007. Bagaimanapun, namanya sudah timbul sejak 1996 sebagai salah satu pihak dinamakan Chellappa untuk menghentikan pengambilalihan tanah tersebut.

One City Development akhirnya menjai antara pihak yang terlibat dalam penghakiman bersama dengan kedua-dua Chellappa dan Nagaraju.

Bagaimanapun, pemilik sebenar tanah tersebut adalah gergasi dari Filipina, Ayala Corporation yang menerusi cabang hartanahnya, Ayala Land Inc mengawal One City Development.

Ayala Land dilaporkan pemaju hartanah terbesar di Filipina, mempunyai kawalan kepentingan terbesar dalam syarikat Malaysia yang disenaraikan di bursa saham, MCT Berhad. MCT Berhad menerusi anak syarikatnya MCT Consortium Bhd adalah pemilik One City Development.

One City Development dituduh mengupah samseng untuk menyerang kuil tersebut pada awal pagi 26 November, tuduhan yang dinafikan mereka dan Ayala Corporation.

Rusuhan yang berlaku menggemparkan negara, meledakkan ketegangan yang sudah lama terpendam dan jadi antara ujian hubungan kaum paling getir Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2018.

Ahli politik India Pakatan Harapan

Sehari selepas serangan berlaku di kuil, menteri India Pakatan harapan mengeluarkan kenyataan dari Parlimen, menggesa Bukit Aman menyiasat.

Waytha Moorty yang bertanggungjawab ke atas situasi tersebut berjumpa jawatankuasa kuil bersama-sama dengan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Susulan pertemuan itu, Waytha Moorty mengisytiharkan kuil tersebut akan kekal di tapak sedia ada, berkata beliau akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan perkara itu jadi kenyataan.

Exco Selangor V Ganapatirao pula memainkan peranannya bagi pihak kuil di peringkat kerajaan negeri. Waytha Moorthy dan Ganapatirao adalah bekas aktivis Hindraf yang pada 2007 menentang perobohan kuil oleh bekas pentadbir Barisan Nasional.

Kedua-dua mereka kini sedang disiasat kerana menghasut kerana bersuara menentang serangan tersebut. Waytha Moorthy juga dikecam hebat Umno dan kumpulan hak Melayu, Perkasa.

Kuil yang didakwa sudah wujud sejak 1891 itu mempunyai nilai sejarah dan warisan tinggi, salah satu perkara yang diperjuangkan pengurusan kuil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2018.

Menteri besar Selangor

Pada 20 Oktober 2018, Menteri Besar Selangor Amirudin berkata negeri akan patuh kepada arahan mahkamah untuk memindahkan kuil tersebut kerana ia dibina di atas tanah persendirian.

Bagaimanapun, pada 28 November, beliau berkata akan mengumumkan penyelesaian terbaik untuk isu itu keesokan harinya. Dan pada esoknya, dalam sidang media yang ditunggu semua pihak, Amirudin menjemput semua pihak ke meja rundingan sekali lagi untuk mencari penyelesaian bersama.

Bagaimanapun, tambahnya, kerajaan negeri tidak ada rancangan mengambilalih tanah kuil tersebut bagi pihak kuil.

Pada 4 Disember, beliau menggesa orang awam menghantar idea penyelesaian isu perpindahan itu, menambah yang cadangan mereka perlu menghormati “kedaulatan undang-undang”. Katanya, selaku “orang tengah”, kerajaan negeri perlu mencari penyelesaian terbaik isu tersebut menjelang minggu depan.

Ahli politik MIC

Ahli politik MIC diketuai Presiden SA Vigneswaran adalah antara pemimpin terawal melawat kuil selepas serangan. Parti itu juga adalah pihak dibelakang saman terbaru difailkan Pengerusi kuil sekarang, Ramachandran terhadap pemaju.

Vigneswaran dilaporkan berkata yang kuil itu boleh diselamatkan kerana MIC menerajui saman yang akan membuktikan penghakiman bersama diperolehi menerusi penipuan.

Parti itu juga menawarkan nasihat guaman percuma kepada individu yang ditahan ketika keganasan tercetus sehari selepas serangan. MIC menawarkan tujuh orang peguam untuk tujuan itu.

MIC juga membantu beberapa individu yang cedera ketika mempertahankan kuil itu. Walaupun tumpuan negara ditujukan kepada Muhammad Adib Mohd Kassim yang diserang perusuh di kuil pada 27 November, terdapat sekurang-kurangnya tiga mangsa lain yang cedera- semuanya penganut kuil tersebut- yang juga dirawat di hospital selepas diserang.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyeru segala jalan penyelesaian dibuat mengikut lunas kedaulatan undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2018.

Vincent Tan

Ketika ahli politik berusaha mencari jalan penyelesaian ke atas isu tanah kuil tersebut, taikun Vincent Tan memulakan inisiatif jana dana, berkata dana tersebut adalah usahanya untuk menamatkan kontroversi tersebut.

Beliau menyumbang RM500,000, tiga lagi ahli perniagaan turut menyumbang RM500,000 setiap seorang. Dana itu ditubuhkan untuk membeli tanah tapak kuil.

Tan yang juga melawat kuil tersebut berkata beliau yakin yang Ayala Corporation akan berusaha sehabis baik untuk memulangkan kembali tanah tersebut kepada kuil, menambah yang beliau mengenali ketua pegawai eksekutif Ayala Corporation yang disifatkannya sebagai individu yang terhormat dan berkebajikan.

Setakat 5 Disember, dana itu sudah mengumpul RM2.15 juta. – 8 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen