Hentikan geran; seniman bukan dewa


Zainal Rashid Ahmad

ANEH sungguh!

Kita masih percaya bahawa ekosistem industri kreatif tempatan hanya akan berjaya dengan kewujudan geran dan subsidi. Kita juga secara absurd dan bongkak turut menafsirkan katalis seni tulen itu bertaraf suci.

Selebihnya, wujud naratif purba dalam takrifan seniman tulen: Kita perlu mendesak masyarakat untuk menelan hakikat, seni tulen itu indentiti minda masyarakat. 

Seni tulen itu sudah direkayasa sebagai karya para dewa. Maka, kita dipaksa untuk percaya: Kononnya, semua hasil seni popular ialah kakasan komersial ciptaan otak kapitalis yang berminda serba murahan.

Lebih dashyat, seniman tulen mengecap industri seni popular sebagai penjajahan dan dominasi kapitalis industri. Konon, seni popular ialah hiburan bikinan kaum hedonis yang taksub untuk meraih untung mudah dengan memanipulasi kebodohan masyarakat.

Dahsyat! Namun, itu realiti. Sejak lama dulu, seniman tulen menciptakan pelbagai dogma untuk menjadikan mereka sebagai kaum suci yang diancam dan ditindas oleh demokrasi pasaran bebas kawalan kaum kapitalis.

Penat hendak menulis pandangan yang sifatnya macam idea yang terjatuh dari bulan mengambang ini. Letih melayan dialog-dialog mabuk para seniman yang terpinggir oleh arus perdana. Pembikin karya yang sembrono meletakkan semua dosa seni ke atas orang lain ketika karya-karya ilham para dewa tidak mendapat tempat dalam industri kreatif.

Saya pun penat mendengarnya. Malah, hampir termuntah. Apalagi, kalau terpaksa hadir sebagai panel mewakili stesen TV yang dianggap penyiar segala macam karya seni. Di mata seniman tulen, operator TV ialah kaum neraka yang sedang tersesat di muka bumi.

Khamis lalu, selepas 13 tahun tidak berminat hadir dalam forum dan dialog jenis ini sama ada sebagai panel atau peserta, saya terperangkap dalam satu forum kerana ditugaskan mewakili stesen tempat bekerja.

Menjadi kaum pendosa di mata para seniman yang perasan mereka ialah utusan para dewa, tidaklah mudah. Malah, sebenarnya memualkan. Apalagi, dalam format dialog akademik yang kaedahnya sudah lapuk dan tidak relevan lagi.

Tempat cakap-cakap berlagak cerdik dan isu-isu yang tidak berjejak di bumi ini, diperkatakan tanpa pernah ada titik relevannya sejak tiga dekad lalu.

Dialog ini sekali lagi dengan berlangsung dengan skrip lama. Para seniman kekal dengan prinsip operator TV telah melacurkan karya seni dengan niat meraih untung mudah.

Saya terasa tersepit dalam dialog seperti anjing dan kucing. Menyalahkan kerajaan dan operator TV, serta usul-usul mengenai perlunya geran dan subsidi kerajaan diperbanyak. Padahal, isu ini sepatutnya telah lama mati. 

Geran dalam dunia kreatif kini sudah berubah. Ekosistemnya bukan lagi dipacu dana kerajaan. Finas dan MDEC tidak perlu terus dibelasah. Seniman tahap dewa sepatutnya sedar: Ekosistem geran sudah bercambah di seluruh dunia. Meluas tanpa sempadan kenegaraan.

Dari rangkaian Netflix dan iFlix, malah di National Geografic, Discovery sampailah ke History Channel, geran kelas dunia bernilai puluhan juta dollar kini menanti secara perlumbaan terbuka. 

Geran global ini sedang menanti untuk idea-idea magis dan karya terbaik pembikin kandungan pelbagai negara.

Tindakan mendesak kerajaan terus menyumbang dana dan menambah geran kreatif, adalah pandangan kolot kaum pengemis sahaja. 

Pembikin program kelas dunia kini mengerumuni Singapura mencari dana komersil untuk menghasilkan kandungan TV. Atau, terbang ke Qatar dan Kanada bagi seniman kreatif yang lebih berani.

Agak aneh, dalam industri kandungan kreatif tanah air yang berusia hampir tujuh dekad, seniman tulen masih lagi berminda kaum pengemis. Sentiasa mengharapkan geran dan subsidi. Mereka masih percaya, operator TV dan kerajaan harus melayan idea-idea seni mereka sebagai ilham dari langit cetusan kreatif para dewa.

Sudah-sudahlah. 

Seniman hebat tidak sepatutnya terus menyelar kerajaan dan operator TV. Alasan seni tulen ialah tamadun bangsa sudah lapuk dan boleh menjadi punca wujudnya wabak loya.

Kerajaan dalam dekad-dekad mutakhir ini pasti akan kembali kepada asas tanggungjawabnya membina negara bangsa. Rakyat kini tegas menuntut pelbagai dana bagi keperluan tamadun pembangunan yang lebih relevan. 

Isu kos sara hidup, menaik taraf sistem pendidikan, pertambahan khidmat kesihatan dan kelestarian perkhidmatan awam pastinya lebih relevan.

Negara berdepan dengan isu-isu berkait asas ekonomi yang perlu dibangunkan semula. Ia sejajar dengan laras zaman yang majoriti rakyatnya tegar mendesak pelbagai sistem kepentingan awam dijadikan keutamaan.

Tidak mungkin seni tulen kekal menjadi keperluan. Seniman kalau terus menjerit hanya akan mencetuskan kekeliruan. Masyarakat akan keliru, suarasalakan ini mana satu milik anjing, mana satu keluhan manusia.

Kalau anda percaya idea dan karya anda bertaraf ilham suci, elok naiklah ke langit dan mintalah dana daripada pada dewa. Di bumi, ekosistem industri dan dinamisme ekonomi sudah tidak memerlukan anda.

Anda adalah persona non grata dalam dunia yang orang sudah anggap keutamaan subsidi dan geran subsidi adalah untuk kepentingan hal-hal asas berteraskan keperluan rakyat.

Duit pembayar cukai bukan milik seniman! – 8 Disember, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen