Himpunan bantah ICERD peluang Umno relevan


Jahabar Sadiq

Umno yang diketuai Ahmad Zahid Hamidi kini dilihat semakin karam ekoran skandal demi skandal melibatkan pimpinan utama mereka didedahkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2018.

TENGOK gayanya, dan dengan bantuan PAS, perhimpunan membantah anti diskriminasi hari ini akan jadi makjun untuk Umno bangkit semula selepas kekalahan teruknya yang bersejarah pada pilihan raya 9 Mei.

Parti itu hilang kerajaan, hilang rakan kerjasama politik, hilang wakil rakyat manakala pemimpinnya dihadapkan lebih banyak pertuduhan jenayah mengalahkan penjenayah terkenal di Malaysia sepanjang zaman – Botak Chin, yang mengaku salah atas tiga tuduhan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) yang kini sudah mansuh.

Namun petang ini, penganjurnya menjangkakan lebih kurang 500,000 akan berhimpun di Dataran Merdeka membantah sebarang kemungkinan Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Kerajaan sudah mengumumkan tidak akan meratifikasi konvensyen itu tetapi, tegas penganjurnya, perhimpunan tetap diteruskan.

Untuk memastikan kata dikota, Kelantan yang diperintah PAS mengisytiharkan Ahad cuti peristiwa. Cuti itu bagi membolehkan rakyatnya datang ke Kuala Lumpur dan balik tanpa bimbang terlepas kerja.

Sambutan Hari Hak Asasi Sedunia yang dirancang di Petaling Jaya hari ini ini ditunda sehingga esok selepas polis berpendapat ada ancaman keselamatan negara, tidak seperti perhimpunan bantah ICERD.

Namun, rapat umum di tempat bersejarah di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad bukan pula ancaman keselamatan. Ia barangkali lebih pada rasa tidak selamat majoriti Melayu yang diapi-apikan oleh ahli politik yang kalah pilihan raya umum ke-14.

Mereka yang kalah itu sudah kembali bersuara, seperti bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein yang memberi kuliah kepada menteri dan timbalan menteri mengenai penglibatan tentera Malaysia dalam konflik di Yaman.

Selain beliau, perhimpunan hari ini juga akan menguntungkan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas ketuanya yang mengaibkan Najib Razak – yang pentadbiran borosnya disingkirkan dalam pilihan raya 9 Mei.

Mereka berdua berdepan sebeban pertuduhan jenayah, 45 untuk Zahid dan 38 untuk Najib. Penyokong mereka bagaimanapun percaya semua itu diada-adakan untuk mengalih perhatian daripada ketidakmampuan Mahathir dan Pakatan Harapan menangani ekonomi yang terbeban dengan pembaziran kerajaan sebelum ini.

Makanya, ICERD serta isu kaum dan agama memberikan Umno oksigen untuk bernafas, malah hidup segar selepas kekalahan mengejutkan di peringkat persekutuan dan negeri tujuh bulan lalu.

Umno sangat berharap dengan kehadiran dalam acara hari ini sehinggakan sesetengah pemimpinnya memberi amaran kepada kerajaan agar tidak meneruskan acara sambutan hak asasi dunia.

Parti itu perlu menunjukkan ia relevan pada masyarakat yang katanya ia wakili – kelompok sama yang mendukungnya semasa susah dan senang sehinggalah pilihan raya yang lalu apabila mereka sama ada tidak mengundinya atau langsung tidak mengundi.

Tidak kisahlah apa pun skandal kewangan semasa ia berkuasa yang sedang didedahkan sekarang, termasuk urus niaga pelaburan mencurigakan oleh agensi dan badan berkanun seperti Felda dan Tabung Haji.

Bagi PAS, ia memang sudah biasa mengadakan protes di Dataran Merdeka dengan sekutunya, dan untuk menghalalkan sokongannya pada Umno dalam pilihan raya. Bersekutu dengan pihak yang sealiran fikiran dan mereka dari kelompok haluan kanan memberikannya nafas dan mengukuhkan sokongan.

Bagi mereka semua, satu-satunya cara untuk mengekalkan sokongan dalam pilihan raya lalu demi pilihan raya akan datang ialah dengan menegaskan bahawa ratifikasi ICERD akan menghakis keistimewaan Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. – 8 Disember, 2018.

* Jahabar Sadiq mengendalikan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • benarlah cakap sultan melayu bumiputra 165 kerusi parlimen lebih 2/3 daripada 222 kerusi parlimen tapi akibat tamak maka diperbodohkan...

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan