Pakistan tidak akan campur tangan perang orang lain


Perdana Menteri Pakistan Imran Khan berkata negaranya membayar harga yang mahal akibat kempen peperangan yang disertainya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2018.

PAKISTAN akan berhenti dari memainkan peranan dalam perang orang lain, kata Perdana Menteri Imran Khan hari ini.

Ia sebagai satu penekanan bagi membantah tuntutan AS yang mahu Islamabad berusaha dengan lebih gigih bagi melawan militan.

Khan, yang turut mengulangi sokongannya terhadap usul Amerika Syarikat baru-baru ini bagi mengadakan perbincangan dengan Taliban di Afghanistan -berkata dalam ucapan televisyen bahawa beliau mahu Pakistan bergerak ke hadapan dengan penuh “bermaruah”.

“Kita tidak akan lagi campur tangan dengan perang orang lain, dan kita tidak akan tunduk di hadapan sesiapa pun,” kata bekas pemain kriket itu.

Islamabad menyertai “perang ke atas keganasan” bersama Washington pada tahun 2001, dan mengatakan negara itu  membayar harga yang tinggi ekoran kerjasama itu yang dilihat mencetuskan tindak balas kumpulan militan tempatan yang mula mengangkat senjata mereka di Pakistan sehingga mengorbankan ribuan nyawa.

Keselamatan telah meningkat di negara itu secara mendadak sejak tahun-tahun kebelakangan ini selepas tindakan berkesan pihak tentera.

Tetapi AS berterusan menuduh Islamabad mengabaikan persetujuan bersama dan bahkan mendakwa ia berpakat dengan kumpulan seperti Taliban Afghanistan dan rangkaian Haqqani, yang dikatakan menyerang Afghanistan dari tempat selamat di sepanjang sempadan antara kedua-dua negara itu.

Rumah Putih percaya bahawa agensi Perisikan Antara-Perkhidmatan Pakistan dan badan-badan ketenteraan yang lain telah lama membantu membiayai Taliban baik di atas alasan ideologi mahupun bagi mengatasi pengaruh India yang semakin meningkat di Afghanistan.

Ia percaya bahawa tindakan keras Pakistan terhadap militan adalah penting bagi menentukan hasil peperangan tersebut. – AFP, 7 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen