Listeria berakhir di Afrika Selatan, dua kedai daging dibuka semula


Afrika Selatan sebelum ini dilanda wabak listeria, yang menyebabkan beberapa barangan makanan dikeluarkan dari jualan. – Gambar AFP, 7 Disember, 2018.

PIHAK berkuasa Afrika Selatan memberi kebenaran kepada pengeluar makanan jenama Tiger Brands membuka kilangnya yang sebelum ini ditutup selepas wabak listeria terbesar dunia melanda dan turut menjejaskan kilangnya, kata syarikat terbabit.

Pada Mac lalu, Afrika Selatan mengarahkan produk daging yang dikenali sebagai ‘polony’ dan mengarahkan beberapa kilang pemprosesan makanan ditutup termasuk dua kilang milik Tiger Brands.

Wabak berkenaan menyebabkan lebih 200 orang maut.

Surat kebenaran membuka semula kilang Tiger Brands di Polokwane itu adalah hampir dua bulan selepas syarikat terbabit mendapat kebenaran menyambung pengeluaran di sebuah lagi kilang mereka di Germiston, sebuah bandar di timur Johannesburg.

Menurut kenyataan Tiger Brands, kilang terbabit yang menghasilkan makanan yang sedia dimakan, akan kembali beroperasi serta merta.

Pada Mei lalu, syarikat terbabit menetapkan sebanyak 356 juta rand sebagai  kos yang ditanggungnya akibat terpaksa menarik semula semua produknya serta tuntutan insurans.

Listeria adalah penyakit yang menyebabkan mangsa mengalami gejala seperti selesema, mual, cirit-birit serta jangkitan dalam darah dan otak. – Bernama, 7 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen