Suhakam tamatkan siasatan berhubung kehilangan pastor 


Noel Achariam

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata, siasatan itu dijalankan secara rasminya ditamatkan hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 Disember, 2018

SELEPAS lebih setahun mengadakan pendengaran awam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menamatkan siasatan berhubung kehilangan Raymond Koh tanpa sebarang perkembangan mengenai kemungkinan di mana pastor itu berada atau siapa yag bertanggungjawab atas penculikannya. 

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata, siasatan itu dijalankan secara rasminya ditamatkan hari ini, selepas mendengar keterangan 16 saksi. 

Katanya, penyerahan akan didengar pada 15 Januari dan jawapan penyerahan akan didengar pada 31 Januari. 

Isteri Koh, Susanna Liew meluahkan rasa lega, dan menyatakan ia merupakan proses yang panjang dan memenatkan bagi dirinya dan keluarga sejak pendengaran awam itu bermula pada Oktober tahun lalu. 

“Kami harap kebenaran akan terbukti. Kami masih menaruh harapan Koh dan yang lain-lain yang hilang akan dibebaskan dan dalangnya dibawa ke muka pengadilan,” katanya selepas sesi siasatan hari ini. 

Liew juga berharap kerajaan baharu akan meneruskan usaha untuk mendapatkan kebenaran mengenai kehilangan suaminya walaupun kehilangannya berlaku pada pentadbiran kerajaan terdahulu. 

“Kami berharap tindakan akan diambil tanpa rasa takut atau memihak dan akan ada penyelesaian tidak lama lagi. 

“Sudah hampir dua tahun dan kami berterima kasih kepada panel kerana menegakkan hak asasi manusia dan memberi mereka pendengaran awam.”

Koh diculik ketika sedang memandu di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lalu oleh kira-kira 15 lelaki menaiki SUV berwarna hitam. 

Penculikan itu dirakam kamera litar tertutup yang disifatkan sebagai operasi terancang. 

Individu lain yang hilang dan menjadi subjek siasatan Suhakam adalah aktivis keebajikan Amri Che Mat dan pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth. 

Objektif siasatan itu adalah untuk menentukan sama ada kes berkenaan adalah kehilangan paksa. – 7 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen