Ribuan wanita Myanmar dipaksa kahwin di China


Ramai wanita meninggalkan Myanmar ekoran "konflik, penghijrahan dan kemiskinan" kata pengarang laporan W. Courtland Robinson. – Gambar AFP, 7 Disember, 2018.

RIBUAN wanita dan gadis remaja dari utara Myanmar diperdagangkan ke China dan dipaksa untuk berkahwin, kata sebuah kajian hari ini.

Kajian itu menunjukkan pandangan yang jarang diteliti berhubung wilayah yang dilanda konflik.

China mempunyai kira-kira 33 juta wanita, jumlah itu lebih kecil berbanding lelaki kerana dasar satu anak untuk satu keluarga di negara republik itu.

Untuk mengurangkan jurang itu, puluhan ribu wanita malang dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam dijual sebagai pengantin setiap tahun, ada yang memang secara sukarela, sementara yang lain menjadi mangsa penipuan atau diperdagangkan.

Dalam kajian pertama, laporan oleh Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health menganggarkan sebanyak 7,500 wanita dari Kachin yang pernah dilanda perang dan bahagian utara Shan telah menjadi mangsa perkahwinan paksa di China.

Berdasarkan wawancara dengan ramai individu yang melarikan diri dan kembali ke Myanmar, sementara yang lain masih berada di China, kajian itu mendapati bahawa majoriti mereka yang diperdagangkan juga terpaksa membawa seorang anak untuk suami mereka.

Ramai wanita meninggalkan Myanmar ekoran “konflik, penghijrahan dan kemiskinan” kata pengarang laporan W. Courtland Robinson, manakala “ketidakseimbangan jantina lelaki-wanita di China, terutama di kawasan luar bandar” menjadikan permintaan terhadap isteri tinggi.

Seorang wanita memberitahu para penyelidik bahawa beliau diperdagangkan ke China sebanyak tiga kali, dan setiap kali ke sana beliau dipaksa untuk “melahirkan anak”, kata Moon Nay Li dari Persatuan Wanita Kachin Thailand, yang mengetuai penyelidikan di lapangan di Kachin dan Shan.

“Kerana ketidakstabilan politik, konflik dan rampasan tanah ... Keselamatan untuk wanita adalah satu cabaran besar,” katanya.

Perkahwinan itu selalunya dirancang dan diurus keluarga wanita dan ahli veteran kampung, dengan bakal pengantin perempuan itu tidak boleh menolaknya kerana mereka berada di bawah hierarki sosial. – AFP, 7 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen