MALAYSIA tidak boleh meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sehinggalah majoriti rakyatnya menyokong triti itu dan memahami yang ia tidak mengancam mana-mana kaum, agama atau Perlembagaan Persekutuan, kata veteran DAP Lim Kit Siang.
Walaupun berpendapat bahawa pengesahan ICERD menjadikan Malaysia melangkah ke depan dalam menyertai komuniti global dalam mendukung hak asasi manusia, keputusan Putrajaya untuk tidak meratifikasi adalah langkah yang tepat kerana ia boleh mengancam kemananan negara, kata Lim.
“Kita hendaklah beri keutamaan kepada perpaduan, keharmonian masyarakat yang berbilang kaum,” katanya pada pelancaran buku “509: The People Have Spoken” di Universiti Malaya hari ini.
“Dan saya berpendapat yang Malaysia tak perlu meratifikasi ICERD melainkan kita telah mencapai satu keputusan yang semua rakyat dari semua kaum dan agama mendapati ia bukan satu ancaman buat mereka,” kata Lim.
Tambah beliau, ada golongan oportunis politik yang cuba menghasut dan mencetus permusuhan kaum.
Pada himpunan anti ICERD esok, Lim berkata Malaysia akan menjadi bahan ketawa umat Islam di seluruh dunia kerana 99% daripada 1.9 bilion umat Islam di dunia tinggal di 179 negara yang meratikasi ICERD, termasuk 55 daripada 57 anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
ICERD juga katanya, tidak menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan menghapuskan sistem Kesulatan Melayu. Malahan, 36 daripada 38 negara yang mempunyai sistem monarki telah meratifikasi ICERD, kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.
Beliau juga menepis tuduhan kumpulan-kumpulan Melayu yang beliau berhasrat mahu menghapuskan hak orang Melayu dan Islam. – 7 Disember, 2018.
Komen