Umno, PAS dan Perkasa bermain dengan api, kata Patriot


Noel Achariam

Presiden Persatuan Patriot Nasional (Patriot) Mohamad Arshad Raji berkata tiada alasan kukuh sebenarnya himpunan itu perlu diteruskan kerana Putrajaya sudahpun mengumumkan untuk tidak meratifikasi ICERD, malah ia boleh mencetuskan ketegangan kaum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 Disember, 2018.

VETERAN tentera memberi amaran kepada Umno, PAS dan Perkasa yang menurut mereka bermain dengan api dengan mengetuai himpunan anti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka esok.

Presiden Persatuan Patriot Nasional (Patriot) Mohamad Arshad Raji berkata tiada alasan kukuh sebenarnya himpunan itu perlu diteruskan kerana Putrajaya sudahpun mengumumkan untuk tidak meratifikasi triti itu.

“Ini semua merepek. Mereka bermain dengan api dan kita tak mahu ada satu lagi Mei 13. Patriot mahu himpunan itu dihentikan,” kata Arshad, merujuk kepada rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Pemimpin-pemimpin Umno, PAS dan Perkasa secara terbuka menyatakan sokongan terhadap himpunan itu. Mereka juga sudah mengumpul ahli-ahli masing-masing untuk menyertai himpunan di Dataran Merdeka bermula dari pukul 2 hingga 6 petang esok.

Asalnya, ia mahu diadakan selepas Putrajaya mengumumkan akan meratifikasi triti yang mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi Melayu dengan dakwaan ia akan menghapuskan hak keistimewaan Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Selepas Putrajaya memutuskan untuk tidak meratifikasi ICERD, penganjur tetap mahu meneruskan himpunan tetapi kali ini sebagai tanda kesyukuran atas keputusan kerajaan itu.

Arshad berkat, pemimpin sepatutnya lebih menumpukan kepada kesederhanaan, perpaduan dan menyatukan semua kaum yang ada di negara ini.

“Kenapa isu hubungan kaum masih tidak selesai sejak merdeka 61 tahun lalu? Kenapa ahli politik masih lagi bercakap pasal kaum? Budaya apa yang mereka cuba tanam dalam generasi muda?”

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sepatutnya menggalakkan penyatuan kaum di negara ini, kata presiden Patriot. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2018.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya menghentikan himpunan malah sebaliknya fokus kepada 45 pertuduhan rasuah yang dihadapinya, kata presiden Patriot itu.

“Dia (Zahid) sepatutnya beri perhatian pada pertuduhan dan berhenti keluar kenyataan. Sepatuntya dia dengan peguam bersiap-siap  untuk membela diri di mahkamah.”

Zahid dihadapkan dengan 45 pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM114.15 juta.

Menurut Arshad, Zahid tidak perlu membuat ucapan (di himpunan) yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Berkenaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula, Arshad berkata pemimpin agama itu sepatutnya menggalakkan toleransi antara agama.

“Orang alim macam dia sepatutnya bercakap tentang bagaimana mahu menyatukan kaum. Dia tahu dan selalu beri syarahan agama tentang perkara itu.”

Beliau juga menegur Presiden Perkasa Ibrahim Ali yang berkata akan mengamuk jika orang Melayu dipijak.

“Ibrahim patut tutup mulut. Kalau nak mengamuk, mengamuk sendiri, kemudian tengok apa tindakan pihak berkuasa.

“Ini semua provokasi. Adakah ini masa yang sesuai untuk kelaur kenyataan macam ini?”

Himpunan esok diadakan seminggu selepas kejadian rusuhan di kuil Hindu di Subang Jaya. Kejadian itu diatakan tercetus akibat pertikaian tapak kuil tersebut.

Rusuhan yang berlanjutan selama dua hari itu menyebabkan ramai cedera dan beberapa kenderaan dibakar. Lebih daripada 70 orang sudah ditangkap setakat ini. – 7 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen