PENAHANAN Ketua Pegawai Kewangan Huawei Meng Wanzhou atas permintaan AS ketika beliau menukar penerbangan di Vancouver pada Sabtu lepas memenuhi corak pendakwaan terpilih, kata South China Morning Post (SCMP) dalam kolumnya hari ini.
Penahanan Meng boleh memberi kesan global ke atas perang perdagangan antara AS dan China yang semakin memuncak.
SCMP juga membangkitkan perbezaan layanan terhadap Patrick Ho, Meng dan hartawan dalam buruan Guo Wengui sebagai “serangan terang-terangan ke atas China”.
Ho, bekas setiausaha hal ehwal dalam negeri Hong Kong disabitkan bersalah di mahkamah New York pada Rabu kerana skim rasuah berjuta dolar di Afrika bagi pihak syarikat tenaga utama China.
Penahanan Meng dikaitkan dengan aktiviti Huawei di Iran, menurut senator AS dan dijadualkan di mahkamah hari ini untuk pendengaran reman.
Sementara Guo yang didakwa China terlibat dengan rasuah, penipuan dan pengubahan wang haram hidup dalam buangan tetapi penuh kemewahan di New York. Guo bekerja dengan bekas penasihat Donald Trump, Stephen Bannon dan menubuhkan dana berjumlah AS$100 juta (RM420 juta) untuk “membawa kerosakan kepada Parti Komunis China”.
Sabitan ke atas Ho, kata SCMP, berlaku ketika Washington berusaha memperkecil “Inisiatif Jalur dan Jalan” (BRI) China dan menghalang negara lain menyertainya.
Ho, 69, disabitkan bersalah kerana pengubahan wang haram dan merasuah pegawai tinggi di Uganda dan Chad untuk menyokong projek CEFC China Energy.
Kepentingan CEFC di Chad dan Uganda adalah sebahagian projek BRI di Afrika, kata akhbar berpangkalan di Hong Kong itu. – 7 Disember, 2018.
Komen