POLIS Kuala Lumpur bersiap sedia menghadapi himpunan anti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) Sabtu ini, termasuk himpunan ahli “kumpulan Silat Melayu” di luar Istana Negara sebelum himpunan anti ICERD dimulakan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata mereka mempunyai jumlah anggota yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada kedua-dua himpunan tersebut.
“Saya beri jaminan yang bilangan anggota kita mencukupi untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar,” kata Mazlan pada sidang akhbar petang tadi.
“Kita juga akan memantau himpunan kecil ahli ‘kumpulan Silat Melayu’ di luar Istana Negara pada pagi sebelum himpunan bantahan. Polis akan berada di sana.”
Mazlan turut menambah, beliau tidak akan mendedahkan bilanggan anggota polis yang akan bertugas pada Sabtu ini kerana tindakan itu seolah-olah “hendak pergi berperang”, katanya.
Mengenai Kumpulan Silat Melayu yang akan turut berhimpun pada Sabtu ini, Mazlan berkata kumpulan itu akan menyerahkan satu memorandum kepada istana, di samping menyatakan bahawa mereka telah memohon permit untuk berkumpul di luar istana.
“Selepas menyerahkan memorandum, mereka akan berarak ke Dataran Merdeka bersama penunjuk perasaan anti-ICERD yang lain,” katanya.
Ketua Polis itu juga memberi amaran kepada peserta perhimpunan supaya mematuhi undang-undang.
“Mereka tidak boleh membawa apa-apa senjata ke perhimpunan itu, mesti mengikut peraturan dan jangan cuba membuat huru-hara,” katanya sambil menambah bahawa pihak polis tidak akan berfikir dua kali untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang cuba menimbulkan masalah pada hari tersebut.
Mazlan juga mengingatkan mereka yang menghadiri perhimpunan itu agar tidak membawa anak-anak mereka kerana ia merupakan kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.
Bantahan yang dipimpin parti-parti pembangkang Umno dan PAS dengan kerjasama kumpulan hak Melayu Perkasa, akan diadakan di Jalan Raja, bertentangan bangunan Sultan Abdul Samad dari pukul 2 petang hingga 6 petang Sabtu ini.
Kelompok Melayu berhaluan kanan, termasuk pemimpin PAS dan Umno, tetap berkeras untuk mengadakan perhimpunan itu walaupun Putrajaya sudah menyatakan bahawa kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD. – 6 Disember, 2018.
Komen