WALAU diugut dengan hukuman penjara dan laman web berita yang diasaskannya akan ditutup, wartawan Filipina, Maria Ressa berkata hanya satu saja jalan untuk menghadapi serangan kerajaan: melawan balik.
Portal berita Rappler berterusan diserang pihak berkuasa Filipina selepas mengkritik kempen perang dadah Presiden Rodrigo Duterte.
Ressa minggu ini menyerah diri untuk bagi pertuduhan mengelak cukai, tetapi masih berdepan empat pertuduhan lain yang beliau tegaskan sengaja diadakan supaya laman webnya ditutup.
“Tidak ada apa yang hendak saya sembunyikan. Saya bersedia mencabar kerajaan,” katanya di ibu pejabat Rappler di Manila.
“Saya tidak takut dengan apa yang kerajaan lakukan. Malah, saya cabar mereka. Kita akan lawan mereka di mahkamah,” tambah beliau mengenai petuduhan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.
Ressa akan dihadapkan di mahkamah bagi kes pertama esok, berkenaan dakwaan bahawa beliau dan Rappler tidak membayar cukai jualan bon mencecah AS$3 juta (RM12 juta) pada 2015.
“Mereka mahu menakut-nakutkan, mereka mahu mengganggu,” katanya.
“Matlamat akhirnya ialah untuk memaksa kami tutup. Berhenti keluarkan berita.”
Kerajaan Filipina berkata Duterte tidak terlibat dalam pertuduhan tersebut dan menambah kerajaan tidak akan sesekali mencampuri urusan badan kehakiman.
Rappler merupakan antara portal berita di Filipina yang mempersoalkan kempen perang dadah presiden yang menurut polis telah membunuh hampir 5,000 pengedar dadah dan penagih sejak 2016. – AFP, 6 Disember, 2018.
Komen