KERAJAAN Burundi mengarahkan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) menutup pejabatnya di negara itu dalam tempoh dua bulan, kata sumber.
Semalam, kerajaan menghantar mesej kepada wakil PBB Garry Conille di Burundi untuk disampaikan kepada Pesuruhjaya Tinggi UNHRC Michelle Bachelet di Geneva.
“Semua staf antarabangsa perlu berpindah dan pejabat diberi masa dua bulan untuk berkemas dan menutup operasinya,” kata sumber dari kementerian luar.
Sumber PBB juga mengesahkan perkara itu.
“Kerajaan Burundi bertindak lebih radikal dan berdegil terhadap masyarakat antarabangsa,” kata sumber itu yang merujuk kepada tindakan Bujumbura memboikot Sidang Kemuncak Masyarakat Afrika Timur pada November lalu.
Persidangan yang diketuai oleh Tanzania itu bertujuan membincangkan krisis politik di Burundi selepas beberapa siri rundingan gagal mendamaikan kerajaan dan kumpulan pembangkang yang hidup dalam buangan.
Kegagalan Burundi untuk hadir memaksa persidangan itu ditunda kepada 27 Disember.
Burundi terlibat dalam krisis politik sejak Presiden Pierre Nkurunziza mengumumkan untuk terus memimpin kerajaan buat penggal ketiga berturut-turut.
Keputusannya itu mencetuskan keganasan antara kumpulan pro kerajaan dan pembangkang, sekali gus mengakibatkan lebih 1,200 orang maut dan 400,000 penduduk menjadi pelarian.
Pada Oktober 2016, Burundi menggantung kerjasama dengan UNHCR ekoran laporan agensi dunia itu yang mendakwa Bujumbura melakukan penderaan terhadap kumpulan penentang.
Pada September tahun ini, Burundi mengancam untuk keluar dari UNHCR selepas satu lagi laporan mendakwa kerajaan melakukan jenayah kemanusiaan.
Pada tahun lalu, Burundi menjadi negara pertama keluar dari Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) selepas disiasat melakukan pembunuhan besar-besaran di negara itu. – AFP, 6 Disember, 2018.
Komen