LEBIH 30 wanita Kemboja yang diupah sebagai ibu tumpang bagi pelanggan China dibebaskan dengan ikat jamin selepas mereka bersetuju untuk menjaga anak-anak itu, kata pihak berkuasa.
Ia susulan Kemboja mengetatkan undang-undang terhadap aktiviti perdagangan yang menguntungkan itu.
Wanita-wanita terbabit didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia selepas mereka dijumpai dalam satu serbuan di Phnom Penh.
Pada 2016, Kemboja mengharamkan aktiviti ibu tumpangan sebagai usaha untuk mencegah ia menular di negara membangun itu selepas Thailand mengharamkannya pada 2015.
Namun, selepas China melonggarkan dasar satu anak bagi satu keluarga, permintaan terhadap perkhidmatan ibu tumpang di Kemboja meningkat meskipun diharamkan kerajaan.
Pihak berkuasa negara itu berkata 32 wanita terbabit dilepaskan dengan ikat jamin minggu ini, manakala 17 lagi dibebaskan pada Rabu.
Sebelum dibebaskan, kesemua wanita yang kebanyakannya sedang mengandung itu berjanji untuk tidak menyerahkan bayi mereka.
Seorang pegawai kanan polis mengesahkan mereka dibebaskan atas dasar kemanusiaan.
“Mereka bersetuju untuk tidak menjual bayi mereka dan akan membesarkan mereka,” kata sumber, sambil menambah wanita-wanita itu akan berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya 15 tahun jika melanggar perjanjian.
Dalam kes itu, lima orang termasuk seorang rakyat China ditahan dan didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia. – AFP, 6 Disember, 2018.
Komen