India kerah 2,000 polis kawal tapak runtuhan Masjid Babri


Anggota polis berkawal di kawasan berhampiran tapak runtuhan Masjid Babri di Ayodhya hari ini. – Gambar AFP, 6 Disember, 2018.

KIRA-KIRA 2,000 polis India dilengkapi baton dikerah mengawal bandar bergolak Ayodhya hari ini bagi mengelakkan sebarang keganasan menjelang ulang tahun kemusnah sebuah masjid di sini.

Kumpulan pelampau Hindu memusnahkan Masjid Babri pada 1992, sekali gus mencetuskan rusuhan di seluruh India sehingga menyaksikan ribuan orang terbunuh, kebanyakannya orang Islam.

Polis melakukan pemeriksaan setiap kenderaan dan pejalan kaki yang melalui kawasan berhampiran bagi mengelakkan berlakunya sebarang keganasan terbaru.

Malah pasukan keselamatan diletakkan berkawal di menara pemantau manakala kamera keselamatan dipasang di sekitar kawasan runtuhan masjid Babri.

Pagar besi yang tinggi turut dipasang di sekeliling kawasan pertikaian itu.

Kebanyakan masyarakat Hindu percaya Ayodhya merupakan tempat kelahiran dewa Ram dan masjid yang berada di kawasan itu sejak 460 tahun lalu dibina selepas kemusnahan sebuah kuil.

Perdana Menteri Narendra Modi yang berkuasa sejak 2014 berikrar untuk membina semula sebuah kuil di lokasi tersebut, tetapi isu itu masih tertangguh di mahkamah.

Ketua Menteri Uttar Pradesh Yogi Adityanath juga mendedahkan pelan untuk membina patung Ram terbesar di dunia dengan ketinggian 221 meter di Ayodhya. – AFP, 6 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen