KERAJAAN sedia disaman syarikat Lynas yang mengancam berbuat demikian selepas diarahkan membuang sisa loji syarikat itu ke luar negara, kata Menteri Hal Ehwal Alam Sekitar Yeo Bee Yin.
Yeo menjelaskan, kerajaan juga berhak untuk tidak memperbaharui lesen syarikat tersebut mengikut undang-undang negara.
“Atas sebab apa yang membolehkan mereka mahu saman kita. Kita bukannya salah guna kuasa yang ada. Jika kita disaman hanya kerana kita melaksanakan undang-undang untuk melindungi kepentingan rakyat, maka kita bersedia untuk semuanya.
“Saya baru sahaja bercakap dengan Peguam Negara pada pagi ini, kita sedia untuk semuanya kerana semua yang kita lakukan adalah mengikut landasan peruntukan undang-undang.
“Lynas tidak boleh datang dan ajar kita bagaimana undang-undang negara diaplikasikan,” kata Ahli Parlimen Bakri itu kepada wartawan ketika di lobi Parlimen hari ini.
Yeo turut mengingatkan syarikat perlombongan nadir bumi itu memenuhi janji menghapuskan sisa buangan dari Malaysia yang kini berjumlah lebih 450,000 tan metrik.
Tambahnya, sisa berkenaan perlu dilakukan ketika terdapat laporan menyatakan bahan sisa itu mencemari saliran air.
Perkara itu yang tidak dibangkitkan Lynas selama ini terbongkar dalam laporan terperinci oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP).
“Tidak ada penyelesaian jangka pendek untuk perkara ini, buat masa ini. Apa yang akan berlaku sekiranya terdapat banjir besar di kawasan berkenaan.
“Siapakah yang akan memberi jaminan berhubung keselamatan rakyat di kawasan berhampiran,” soal Yeo.

Tambahnya, Lynas perlu membuang sisa berkenaan kerana syarikat induknya sudahpun memberi komitmen berkenaan.
“Lynas sudah menyatakan komitmen mereka dalam surat Lynas Corp Ltd dari Australia dan Lynas (Malaysia) Sdn Bhd untuk membuang sisa dari syarikat berkenaan jika perlu. Ia adalah sisa terkumpul.
“Mereka (Lynas) boleh terus mencari jalan penyelesaian untuk menghapuskan sisa berkenaan tetapi pada masa yang sama, sila selesaikan masalah sisa ini atau akan membawa risiko yang lebih tinggi kepada masyarakat sekitar,” katanya lagi.
Laporan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP mencadangkan Lynas menyediakan kemudahan pelupusan kekal.
Ia bagi menguruskan dua jenis sisa buangan utama, iaitu Water Leached Purification Residue (WLP) dan Neutralization Underflow Residue (NUF) dengan segera.
Laporan tersebut menyatakan, kerja saringan tapak pembinaan PDF perlu dibuat sebelum lesen diperbaharui.
Jika Lynas gagal mengenal pasti lokasi sesuai atau mendapat kelulusan pihak berkuasa, ia perlu mengeluarkan sisa buangannya dari Malaysia. – 6 Disember, 2018.
Komen