KETUA Pembangkang Ahmad Zahid Hamidi bersama lebih 10 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) lain membidas tindakan Speaker Mohamad Ariff Md Yusof melarang ahli Parlimen Cameron Highlands C Sivarraajh memasuki sidang Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata Sivarraajh merupakan ahli Parlimen yang sah kerana masih mempunyai masa 14 hari iaitu sehingga 12 Disember untuk membuat rayuan keputusan mahkamah yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada 30 November lalu.
“Ahli Parlimen BN protes dengan ambil tindakan meninggalkan Dewan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh speaker yang telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan ahli Parlimen Cameron Highland untuk berada dalam Dewan.
“Mahkamah Pilihan Raya hanya akan mengambil sesuatu keputusan secara muktamad hanya jika tiada sebarang rayuan difailkan dalam masa 14 hari. Dan jika notis rayuan telah difailkan oleh seorang ahli Parlimen yang telah diisytiharkan salah laku oleh hakim, maka (Sivarraajh) masih layak untuk berada di persidangan ahli Parlimen sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan,” katanya pada membuat sidang media bersama ahli Parlimen BN yang lain hari ini.
Antara yang turut keluar Dewan 10 minit sebelum berakhir persidangan pagi tadi ialah Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong, Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri dan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.
Ahli Parlimen PAS bagaimanapun masih berada dalam Dewan. – 6 Disember, 2018.
Komen