NEGARA-negara di rantau Afrika Sub-Sahara mengalami kerugian pendapatan berbilion dolar disebabkan perkahwinan kanak-kanak yang berleluasa di negara tersebut, lapor Bank Dunia.
Menurut laporan bertajuk ‘Educating Girls and Ending Child Marriage’ (Mendidik Kanak-Kanak Perempuan dan Mengakhiri Perkahwinan Kanak-Kanak), lebih satu pertiga daripada kanak-kanak perempuan di rantau Afrika Sub-Sahara berkahwin sebelum usia 18 tahun.
Malah anggaran untuk 12 negara di rantau itu mengalami kerugian AS$63 bilion kerana kanak-kanak terpaksa menamatkan persekolahan lebih awal untuk berkahwin.
Kata laporan itu, setiap tahun golongan berpendidikan pertengahan semakin menurun antara 5% atau lebih disebabkan perkahwinan sebelum usia 18 tahun.
Afrika Barat menunjukkan jumlah perkahwinan bawah umur paling tinggi sebelum usia 15 tahun dan antara 20 negara yang mempunyai kadar perkahwinan kanak-kanak di dunia.
18 negara yang tersenarai adalah daripada benua Afrika.
Wakil pertubuhan Girls Not Brides, Yvette Kathurima Muhia berkata kerajaan dan masyarakat perlu bekerjasama dalam menangani isu tersebut.
Sebanyak 24 negara telah melancarkan strategi kebangsaan untuk menamatkan amalan perkahwinan kanak-kanak sejak Kesatuan Afrika memulakan kempen itu bagi menghentikan amalan itu menjelang tahun 2023.
Namun katanya banyak perkara perlu dilakukan terutamanya bagi memastikan kanak-kanak di sekolah mendapat makanan percuma dan pengangkutan.
“Dengan itu, keluarga mereka berasa lebih terjamin untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah dengan memperoleh sokongan dan insentif, berbanding sekadar tinggal di rumah,” katanya.
Punca perkahwinan kanak-kanak amat rumit dan melibatkan kepercayaan tradisional, perubahan iklim dan konflik.
Namun kemiskinan merupakan antara faktor utama.
Bulan lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata lebih 250,000 penduduk terpaksa berpindah akibat bencana kemarau di barat Afghanistan.
Keadaan itu memburukkan lagi situasi kemanusiaan dan memaksa sesetengah keluarga menjual anak mereka bagi menyelesaikan hutang dan membeli makanan. – AFP, 6 Disember, 2018.
Komen