PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini akan menyaksikan proses pengundian satu resolusi yang diusulkan Amerika Syarikat (AS) untuk mengutuk pergerakan Palestin Hamas.
Usul itu merupakan usaha terakhir Duta AS ke PBB Nikki Haley sebelum meninggalkan pertubuhan dunia itu.
Haley yang meletak jawatan sebagai duta PBB pada hujung tahun ini, berulang kali menuduh PBB bersikap berat sebelah dan anti Israel.
Jika diluluskan, ia akan menjadi resolusi pertama dalam sejarah persidangan agung PBB untuk mengecam Hamas, kumpulan Palestin yang memerintah Semenanjung Gaza sejak 2007.
AS mengharapkan sokongan penting daripada 28 negara Kesatuan Eropah (EU) yang dijangka menyokong langkah Washington mengutuk Hamas kerana melancarkan roket ke Israel dan menggesa keganasan di wilayah itu dihentikan.
Bagaimanapun perwakilan PBB memberi amaran sesi pengundian resolusi itu akan menjadi lebih rumit memandangkan timbul persoalan sama ada majoriti dua pertiga atau majoriti mudah diperlukan untuk meluluskan usul tersebut.
Malah wujud perselisihan diplomatik selepas wakil Palestin membentangkan pindaan terhadap usul AS bagi memasukkan resolusi PBB yang mengutuk penempatan haram Israel.
Dalam rundingan dengan EU, AS bersetuju untuk menambah perenggan yang merujuk kepada resolusi PBByang relevan tanpa menjelaskan secara terperinci.
Usul AS itu tidak menyatakan penyelesaian dua negara antara Palestin dan Israel.
Selepas berunding dengan EU lewat semalam, wakil Palestin bersetuju untuk menarik semula pindaan dan membentangkan resolusi berasingan.
Tindakan itu meningkatkan lagi peluang AS untuk meluluskan resolusi mengecam Hamas, begitu juga usul Palestin yang mengecam penempatan haram Yahudi di Palestin. – AFP, 6 Disember, 2018.
Komen