TIMBALAN perdana menteri, empat menteri dan seorang timbalan menteri masih belum mengisytiharkan aset mereka berdasarkan senarai yang dipaparkan dalam laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengisytiharan aset oleh barisan Kabinet Pakatan Harapan (PH) itu bermula pada Julai dan berakhir pada 31 Oktober.
Orang ramai boleh mengakses senarai itu menerusi pautan https://mydeclaration.sprm.gov.my, sebagai usaha kerajaan untuk menjadi lebih telus.
Namun Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Saifuddin Abdullah; Menteri Perundangan Minister Liew Vui Keong; Menteri Perpaduan P Waytha Moorty; Menteri Pelancongan Mohamaddin Ketapi dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim masih belum tersenarai.
Saifuddin dan Sim memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka telah mengisytiharkan aset masing-masing tetapi tidak pasti sebab pengisytiharan itu belum dimasukkan dalam laman web SPRM.
The Malaysian Insight masih menunggu maklum balas daripada empat menteri lagi.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SRPM (Pencegahan) Shamshun Baharin Mohd Jamil memberitahu The Malaysian Insight bahawa enam menteri Kabinet itu mungkin tidak menyerahkan secara terus butiran pengisytiharan aset kepada agensi anti rasuah itu.
“Maklumat yang dipaparkan dalam laman web itu adalah versi terkini. Jika mereka sudah isytihar, mereka perlu menyerahkannya secara terus kepada kita,” kata Shamshun.
“Mungkin maklumat aset mereka masih ada di Pejabat Perdana Menteri atau GIACC (Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional).
“Jika mereka menyerahkan maklumat itu kepada kita, tiada persoalan akan berbangkit,” katanya.
Shamshun bagaimananpun berkata jika menteri enggan mengisytiharkan harta mereka, SPRM tidak boleh berbuat apa-apa.
“Kita hanya menyediakan platform untuk mereka mengisytiharkan aset, itu sahaja. Jika mereka enggan berbuat demikian, kita tidak boleh paksa atau mengambil tindakan.
“Namun mereka perlu tahu bahawa ia (ketelusan) merupakan janji manifesto pilihan raya mereka,” katanya.

Kumpulan aktivis bagaimanapun mahukan jawapan.
Presiden Transparency International Malaysia Akhbar Satar berkata menteri yang masih belum mengisytiharkan aset mereka perlu malu dengan diri sendiri kerana perdana menteri sudah berbuat demikian.
“Mereka perlu malu. Bos mereka, seorang lelaki berusia 93 tahun sudah melakukannya dengan lebih awal. Apa alasan anda? Ini mesti menjadi keutamaan anda,” katanya.
“Ini merupakan janji anda dalam manifesto dan ia tertangguh beberapa kalu. Anda mesti menunjukkan contoh yang baik.
“Jika anda mengkritik kerajaan terdahulu kerana tidak telus, maka anda tiada beza dengan mereka,” kata Akhbar.
Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata rakyat mempunyai hak untuk mengetahui pendapatan menteri dan timbalan menteri selain aset mereka.
“Tugas mudah untuk menunaikan manifesto adalah mengisytiharkan aset.
“Satu sebab mereka perlu berbuat demikian adalah untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan telus.
“Sebab itulah rakyat perlu tahu jumlah pendapatan anda sebelum menjadi ahli Parlimen.
“Jika tidak mengiytiharkan harta, apa mesej yang anda ingin sampaikan kepada rakyat?”
Dalam manifesto pilihan raya umum lalu, Pakatan Harapan menyatakan semua ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara dan pegawai kerajaan dengan pangkat Jusa C dan ke atas perlu mematuhi pengisytiharan aset dan pendapatan.
Terdapat 55 menteri dan timbalan perdana menteri yang tersenarai untuk berbuat demikian. – 6 Disember, 2018.
Komen