6 anggota Kabinet masih belum isytihar aset


Alfian Z.M. Tahir

Orang ramai boleh mengakses senarai aset menteri Kabinet di laman web SPRM menerusi pautan https://mydeclaration.sprm.gov.my. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2018.

TIMBALAN perdana menteri, empat menteri dan seorang timbalan menteri masih belum mengisytiharkan aset mereka berdasarkan senarai yang dipaparkan dalam laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengisytiharan aset oleh barisan Kabinet Pakatan Harapan (PH) itu bermula pada Julai dan berakhir pada 31 Oktober.

Orang ramai boleh mengakses senarai itu menerusi pautan https://mydeclaration.sprm.gov.my, sebagai usaha kerajaan untuk menjadi lebih telus.

Namun Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Saifuddin Abdullah; Menteri Perundangan Minister Liew Vui Keong; Menteri Perpaduan P Waytha Moorty; Menteri Pelancongan Mohamaddin Ketapi dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim masih belum tersenarai.

Saifuddin dan Sim memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka telah mengisytiharkan aset masing-masing tetapi tidak pasti sebab pengisytiharan itu belum dimasukkan dalam laman web SPRM.

The Malaysian Insight masih menunggu maklum balas daripada empat menteri lagi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SRPM (Pencegahan) Shamshun Baharin Mohd Jamil memberitahu The Malaysian Insight bahawa enam menteri Kabinet itu mungkin tidak menyerahkan secara terus butiran pengisytiharan aset kepada agensi anti rasuah itu.

“Maklumat yang dipaparkan dalam laman web itu adalah versi terkini. Jika mereka sudah isytihar, mereka perlu menyerahkannya secara terus kepada kita,” kata Shamshun.

“Mungkin maklumat aset mereka masih ada di Pejabat Perdana Menteri atau GIACC (Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional).

“Jika mereka menyerahkan maklumat itu kepada kita, tiada persoalan akan berbangkit,” katanya. – 6 Disember, 2018.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen