BEKAS setiausaha dalam negeri Hong Kong Patrick Ho Chi Ping disabitkan bersalah oleh Mahkamah New York semalam berhubung satu kes rasuah berjuta dolar di Afrika bagi pihak syarikat tenaga utama China.
Ho, 69, disabitkan bersalah oleh panel tujuh daripada lapan juri atas kesalahan melanggar Akta Amalan Rasuah Wang Asing dan pengubahan wang haram kerana didakwa merasuah pegawai tinggi di Uganda dan Chad untuk menyokong projek CEFC China Energy, syarikat berpangkalan di Shanghai dan sedang meningkat naik dalam industri tenaga China.
Sebahagian daripada urus niaga itu dilakukan di dewan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), membawa kepada penahanan Amerika Syarikat (AS) terhadap Ho dan rakan subahatnya, bekas diplomat kanan Senegal, Cheikh Gadio pada November 2017.
Dalam aduan Jabatan Kehakiman, dua individu terbabit menawarkan rasuah AS$2 juta kepada presiden Chad bagi mendapatkan hak minyak dan AS$500,000 untuk akaun khas oleh menteri hal ehwal luar Uganda, yang saja tamat penggalnya sebagai presiden perhimpunan agung PBB baru-baru ini.
Ho, yang mempengerusikan organisasi berpangkalan di Hong Kong iaitu Jawatankuasa Dana Tenaga China (CEFC) dan didanai oleh CEFC China Energy, juga memberikan hadiah dan janji manfaat pada masa depan kepada presiden dan menteri luar Uganda – termasuk saham dalam keuntungan usaha sama, kata pihak berkuasa.
Sabitan itu membawa hukuman sehingga lima tahun penjara bagi setiap kesalahan, dan 10 tahun untuk pertuduhan pengubahan wang haram.
Ho juga berdepan hukuman denda bagi setiap pertuduhan.
Kes terhadap Cheikh Gadio digugurkan pada 14 September. – AFP, 6 Disember, 2018.
Komen