Isu rusuhan kuil, ICERD dedah kelemahan Pakatan, kata penganalisis


Bede Hong

Kerajaan gagal untuk menggariskan hujahnya secara jelas bagi menghilangkan rasa takut orang Melayu Islam jika pelan meratifikasi ICERD diteruskan, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2018.

TINDAKAN kurang cekap dalam menangani isu rusuhan kuil Hindu Seafield dan pelan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) mendedahkan kelemahan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis.

Ini kerana kerajaan PH dilihat tidak mempunyai desakan politik untuk mengatasi masalah kronik di negara ini apabila melibatkan isu ketegangan etnik dan kaum.

Bulan lalu, pengumuman Putrajaya untuk meratifikasi ICERD mengundang kemarahan kumpulan Melayu berhaluan kanan yang mendakwa tindakan itu akan menggugat hak istimewa golongan Bumiputera.

Ekoran itu, kerajaan PH terpaksa tunduk dengan desakan pembangkang dan mengumumkan bahawa Pakatan tidak akan meneruskan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Penganalisis berkata tindak balas PH menunjukkan kehilangan kawalan pegangan politik terhadap golongan pelampau.

“Tindak balas PH dalam isu ICERD amat lemah dan menyedihkan,” kata Zaharom Nain, seorang profesor bidang kajian media dan kebudayaan Universiti Nottingham Malaysia.

Zaharom berkata kerajaan gagal untuk menggariskan hujahnya secara jelas bagi menghilangkan rasa takut orang Melayu Islam jika pelan meratifikasi ICERD diteruskan.

Disebabkan itu, PH kehilangan peluang untuk menetapkan pendirian jelas dalam menangani isu perkauman dan ketaksuban.

“Sepatutnya ada desakan politik, tetapi ianya tiada,” kata Zaharom.

Rusuhan kuil Seafield menyebabkan kerosakan harta bernilai jutaan ringgit dan seorang anggota bomba cedera parah ekoran dipukul kumpulan perusuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2018.

Zaharom berkata apabila kumpulan Melayu berhaluan kanan mahu mengadakan himpunan bantah ICERD disertai Umno dan PAS, kerajaan sepatutnya mengutuk tindakan itu secara efektif dan membantah himpunan itu.

“Apa yang ingin saya tekankan adalah ketegangan kaum dan agama hanya akan meningkat jika kita benarkan golongan pentaksub dan perkauman yang menguasai isu tersebut.

“Kita, termasuk kerajaan perlu terus bertindak tegas dan membuang golongan ini atas kebodohan yang mereka cetuskan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Himpunan bantah ICERD akan diadakan di Jalan Raja, berdepan bangunan Sultan Abdul Hamid dan Dataran Merdeka bermula pukul 2 petang hingga 6 petang pada Sabtu ini.

Sementara itu, rusuhan kuil Seafield menyebabkan kerosakan harta bernilai jutaan ringgit dan seorang anggota bomba cedera parah ekoran dipukul kumpulan perusuh.

Anggota bomba itu merupakan orang Melayu dan kumpulan perusuh pulan India, manakala pencerobohan awal sekumpulan samsung ke kuil itu melibatkan warga negara asing dan orang Melayu.

Profesor bersekutu yang pakar dalam kajian sosio kebudayaan di Universiti Malaya, Awang Azman Awang Paw percaya isu perkauman dan agama masih diibaratkan seperti ‘bom masa’.

“Kedua-dua isu itu menunjukkan isu agama dan kaum masih sensitif di Malaysia. Ia ibarat bom masa yang boleh meletup pada bila-bila masa,” katanya.

Awang Azman berkata PAS dan Umno bersungguh-sungguh mahu menjadi sebahagian daripada himpunan itu yang dilihat menjadi talian hayat kepada parti mereka.

“Mereka mahu dilihat oleh penyokong masing-masing sebagai pejuang Melayu dan Islam.

“Jika mereka tidak berbuat demikian, perjuangan parti mereka akan dianggap sebagai tidak relevan.

“ICERD menjadi peluang kepada mereka untuk menarik sokongan golongan Melayu konservatif,” katanya.  – 6 Disember, 2018.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen