Gol cantik Syahmi dan aurat


Mohd Syazreen Abdullah

JARINGAN gol cantik pemain Malaysia, Muhammad Syahmi Safari malam tadi sukar dilupakan. Rembatan kencang dari luar kotak penalti ke penjuru gawang Thailand begitu mempesona. Barangkali gol itu petanda kebangkitan semula Malaysia dalam arena bola sepak.

Namun, keceriaan itu terasa direntap dengan isu pakaian sukan patuh syariah – tiba-tiba ditimbulkan dengan cuba mengolah persetujuan umum: tutup aurat pun tetap boleh jaringkan gol cantik. Syahmi yang memakai seluar tight panjang dijadikan contoh.

Kita lupa Mo Salah, pemain Liverpool yang didendang sebagai ikon Islam dalam bola sepak sedari dulu berseluar pendek. Aksi sujud syukur sebaik saja menjaringkan gol disambut sebagai Islami. Aneh, tiada siapa pula – ketika itu – mempertikai seluar pendeknya. Mungkin kerana isu pakaian sukan patuh syariah belum lagi digendangkan.

Sebenarnya, hukum yang baik tidak membawa mudarat. Bukan soal “boleh” atau “tidak boleh”. Hukum tidak statik, sentiasa bergerak — bergantung kepada keperluan. Ia tidaklah sesempit “boleh atau tidak”.

Jadi, pilih manfaat bukan mudarat. Itu lebih bijak.

Untuk menang, seluar pendek lebih membantu – laju, lincah. Itu pilihan bijak. Begitulah hukum.

Hukum boleh menjadi tidak haram apabila ada manfaat dan keperluan. Di setiap celah dan ruang, Islam sangat teliti. Asalkan tidak mudarat, bahkan bawa manfaat. Sebaik-baik hukum ia tidak membawa mudarat.

Fikah tidak final

Hukum Islam sangat peka fitrah manusia. Maka ia senantiasa relevan. Cukup sekadar diperlukan mengikut keperluan manusia yang berubah-ubah.

Ini fikah. Tidak mutlak. Tidak final. Fikah bukan acara sukan – ada ketetapan siapa masuk separuh akhir, siapa masuk final, siapa juara atau pemenangnya. Dalam fikah, tiada final. Sebaliknya, fikah bersifat anjal, berubah-ubah mengikut pelbagai faktor.

Fikah hanyalah produk ijtihad ahli hukum, boleh berubah mengikut kesesuaian situasi, masa dan tempat. Malah, ia bersifat mesra budaya. Hukum tidak boleh terpisah dengan keperluan sosial. Ibadah bukan sekadar soal dosa-pahala, neraka-syurga. Fikah tanpa sosial adalah fikah sempit.

Pemain pertahanan pasukan Malaysia, Syahmi Safari (kiri) dan pemain tengah Thaikand Sanrawat Dechmitr mengejar bola ketika suku masa kedua perlawanan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium Rajamangala, Bangkok, semalam. – Gambar AFP, 6 Disember, 2018.

Justeru, memilih pakaian tutup aurat atau tidak, itu tidak penting. Hanya pilihan. Asalkan selesa dan tidak melampau. Kerana tidak ada perintah mutlak yang jelas dalam hal ini. Yang ada hanyalah perbezaan pandangan ulama – pakar hukum fikah Islam.

Dalam konteks sukan khususnya bola sepak, aurat lelaki paha dan lutut terdedah jika berseluar pendek. Usah risau kerana hukum aurat tidak muktamad. Jangan pula kita memandai-mandai menjadikannya mutlak. Ada kelonggarannya. Walau majoriti kata wajib, ada pandangan menyebut tidak. Untuk mengelak salah faham, majoriti tidak menggalakkan seluar pendek tetapi bukanlah sampai menetapkan satu-satu hukum sebagai wajib.

Apakah batasan aurat?

Hukum ada berbagai-bagai ragam. Jangan sempitkan. Mustahil para mufti dan alim ulama kerajaan Terengganu tidak faham perkara ini. Sekilas, pandangan ulama muktabar tentang aurat lelaki, kita dapati masing-masing ada hujah dan sandaran tersendiri. Boleh pilih ikut keselesaan. Asalkan kita tahu sandaran tersebut tanpa membabi buta. Tapi jangan sekadar ikut-ikutan.

Memang majoriti pandangan tentang aurat lelaki menyebut paha adalah aurat. Pandangan itu dipegang Imam Hanifa dan Imam Ahmad Hambali. Pandangan Imam Syafie pula pusat dan lutut bukan aurat tetapi di antara pusat dan lutut wajib ditutup.

Pandangan kedua, paha lelaki bukan aurat. Ini dipegang beberapa ulama seperti Ibnu Jarir al-Tabari, Imam Bukhari, Daud al-Zahiri, Ibn Hazm bahkan Imam Malik. Pandangan ketiga, paha jadi aurat pada tempat tertentu. Boleh jadi atas faktor budaya dan kesesuaian tempat atau uruf. Ibn Qutaibah berpegang pada pandangan ini.

Seperti solat, boleh saja dikerjakan di masjid dengan memakai seluar pendek. Namun, sifat kesopanan semula jadi rumah ibadat, maka kena hormat. Sesuaikan pakaian yang sopan dan bersih. Tidak ada paksaan wajib pakai sekian-sekian. Tetapi lain pula di padang bola – cita rasa sukan cenderung kepada aksi kelincahan. Jadi, situasinya tidak sama. Hukum boleh berbeza.

Untuk lebih jelas, aurat terdiri daripada aurat berat (mughallazah) dan aurat ringan (mukhaffafah). Aurat mughallazah ialah kemaluan (qubul) dan dubur sedangkan aurat mukhaffafah ialah paha. Paha adalah aurat kecil, ringan (mukhaffafah). Dosa kecil. Boleh jadi tidak berdosa pada tempat tertentu. Ibn Qayyim berpegang pada pandangan ini.

Pilihan bukan paksaan

Maka, ada kelonggaran – berseluar pendek walau terdedah paha bukan masalah. Bahkan, ia dipraktikkan dalam hampir semua acara sukan.

Perkara khilaf apabila memasuki cita rasa dan uruf – sesuatu sudah diketahui, jadi kebiasaan; maka, dahulukan cita rasa semula jadi tersebut – esensi.  Hukum boleh berubah-ubah. Apatah lagi melibatkan acara penting seperti sukan atau apa jua aktiviti lasak.

Bayangkan pula acara renang jika dipaksa menutup aurat. Pakaian jadi lebih berat, memperlambat gerakan. Tidak selesa. Ganggu emosi. Itu dianggap zalim kepada atlet. Tanpa sedar, kita menzalimi esensi – cita rasa sukan – jika berlaku pemaksaan penutupan aurat. Sedangkan, Islam melihat sekecil-kecil perkara. Bukan semudah – itu dosa, itu pahala.

Jadi, sangat ironis apabila kerajaan Terengganu ketegar mahu melaksanakan pemakaian sukan patuh syariah. Kelakarnya, sibuk suruh tutup-tutup tapi masih menampakkan bentuk, bukankah itu masih dikira aurat?

Kalau betul-betul mahu mencari kesempurnaan, tentu aurat ditutup penuh – tidak terdedah waima memperlihatkan bentuk sekali pun. Ini tentunya tidak masuk akal untuk dipraktikkan dalam sukan. Jadi apa? Haramkan sukan?

Politik agama dalam sukan

Baru-baru ini, muncul gagasan untuk menjadikan Syariah Islam sebagai dasar atau polisi apabila exco Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah mencadangkan atlet negeri memakai pakaian patuh syariah – tutup aurat.

Mufti sokong. Ramai umat Islam pun ikut sokong. Kata agamawan, tutup aurat itu wajib, termaktub dalam ajaran Islam. Tiada kompromi. Dedah aurat, itu dosa. Tidak guna menang andai dedah aurat. Buat apa menang jika tiada nilai di sisi-Nya. Menang piala tapi hilang pahala. Begitulah bergegak gempita umat Islam bertempik.

Agamawan juga sempat marah-marah apabila cadangan menutup aurat tidak disetujui. Siapa menentang, cepat-cepat dilabel liberal – melawan hukum Islam. Misalnya Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang meminta polisi itu dipertimbang semula.

Bingkas beliau ditegur, dinasihati, bahkan dikecam. Moga-moga menteri kembali ke pangkal jalan, ke pangkuan Islam, kata agamawan. Umat Islam juga mula bertelagah atas isu yang asalnya bersifat mukhaffafah. Ada pula yang ikut sama menasihati menteri muda yang dipelekeh “setahun jagung” – dengan nada cerca.

Akhirnya, kerana soal polemik aurat, kita buang akhlak, kita buang perpaduan, kita buang tolak ansur, kita buang hormat sesama manusia. Kita cuma belum mampu membuang sukan. – 6 Disember, 2018.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen