DUTA Arab Saudi ke Amerika Syarikat (AS) Khalid bin Salman yang juga abang kepada putera mahkota, kembali ke Washington selepas meninggalkan ibu negara itu ketika kecoh kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.
“Tuanku duta besar kini berada di Washington,” kata jurucakap kedutaan Fatimah Baeshen.
Diplomat itu kembali ke Riyadh pada awal Oktober tidak lama selepas pembunuhan Khashoggi di konsulat Arab Saudi di Istanbul.
Pada masa itu, Jabatan Dalam Negeri AS berkata ia akan mendapatkan maklumat daripada beliau berkaitan insiden itu.
Duta itu ialah abang kepada Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang didakwa memainkan peranan besar mengarahkan pembunuhan itu.
Dua senator Republikan berkata taklimat oleh Pengarah CIA Gina Haspel mengukuhkan lagi sabitan mereka bahawa Putera Mohammed dalang kepada jenayah itu.
Menurut laporan media AS, CIA ada bukti menunjukkan Putera Khalid bercakap dengan Khashoggi sebelum kematiannya dan memberi jaminan beliau boleh ke konsulat dengan selamat, untuk mendapatkan dokumen bagi berkahwin dengan tunangnya yang juga warga Turki.
Putera Khamid menafikan semua itu.
Pentadbiran Presiden Donald Trump menjarakkan kepimpinan Arab Saudi daripada perkara itu dan bertegas menyatakan tiada bukti langsung menunjukkan Putera Mohammed memberikan arahan itu.
Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir juga berada di Washington bagi mewakili negaranya menghadiri upacara pengebumian bekas presiden George H.W. Bush. – AFP, 6 Disember, 2018.
Komen