Selepas rusuhan minggu lalu, keadaan kembali normal di kuil Seafield


Noel Achariam

Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya dikawal ketat oleh polis sejak minggu lalu selepas berlaku rusuhan hingga menyebabkan anggota bomba cedera teruk dan banyak kereta dibakar. Polis setakat ini menahan 83 orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2018.

KUIL Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, di mana berlakunya rusuhan minggu lalu kini kembali kepada rutin biasanya di mana penganutnya kembali ramai berkunjung untuk beribadat.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Selamatkan Kuil Seafield S. Ramaji berkata kuil itu kini berfungsi seperti biasa.

“Ada satu majlis perkahwinan akan diadakan di sini pada Ahad dan penganut sudah kembali untuk sembahyang.

“Tidak ada isu lain di sini,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di kuil itu.

Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terus berkawal di kawasan kuil itu di mana seorang anggota bomba kritikal di hospital selepas diserang dalam rusuhan yang berlaku minggu lalu. Dalam insiden itu, banyak kereta rentung dibakar dan orang ramai cedera.

Isu membabitkan kuil itu semakin tegang pada Isnin lalu apabila sekumpulan 50 lelaki menyerbu masuk dan mendesak penganut meninggalkan tempat itu kerana kawasan berkenaan milik pemaju One City Development Sdn Bhd.

Insiden itu menyebabkan ribuan penganut Hindu dari seluruh negara datang untuk menyokong kuil berkenan.

Ramaji berkata polis menjaga kawasan itu pada masa ini, jadi tiada lagi isu di kuil itu.

“Kawalan keselamatan di sini sangat ketat, dan tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kami sekarang tutup kuil jam 10 malam.”

Anggota bomba yang diserang perusuh dan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kini sudah sedar.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan beberapa menteri lain melawat Muhammad Adib Mohd Kassim dan mendoakan beliau cepat sembuh. Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor turut melawatnya semalam.

Kuil itu pada masa ini berdepan kes baharu di mahkamah dengan 50 penganut mohon membatalkan kebenaran penghakiman di mana salah satu bahagian kuil itu bersetuju untuk mengosongkan tanah berkenaan untuk One City Development.

Pemaju bersetuju untuk tidak melakukan apa-apa sehingga permohonan injunksi baharu didengar pada 11 Januari tahun depan.

Dr Mahathir meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk menyelesaikan isu itu.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata beliau boleh membantu menyelesaikan pertikaian tanah antara kuil itu dan pemaju.

Sejak itu pengasas Group Vincent Tan memulakan kutipan dana untuk membeli tanah kuil itu. Jumlah kutipan setakat ini mencecah RM2 juta.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis menahan 83 orang berhubung rusuhan di kuil itu.

Menteri Dalam Negeri Muhiyiddin Yassin juga berkata mereka sudah mengenal pasti dalangnya dan tindakan akan diambil. – 6 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen