TENTERA Indonesia hari ini memburu pemberontak yang disyaki membunuh sekumpulan pekerja binaan di wilayah bergolak Papua selepas seorang saksi yang menyaksikan kejadian tersebut ditemui.
Saksi yang terselamat itu memberikan butiran pembunuhan sekurang-kurangnya 19 orang yang disahkan sebagai keganasan paling dahsyat di rantau yang sekian lama berada dalam pemberontakan kemerdekaan.
Seramai 150 anggota dikerahkan dalam operasi di Nduga, kawasan di mana pekerja syarikat kontraktor Istaka Karya sedang membina jambatan dan jalan raya untuk menaik taraf infrastruktur d wilayah miskin itu.
Beberapa penduduk Papua tidak menyukai usaha pembinaan yang dijalankan kerajaan Indonesia, yang menurut mereka ia adalah cara untuk menambah kawalan ke atas rantau yang berkongsi sempadan dengan Papuan New Guniea.
Empat pekerja - termasuk tiga lagi cedera ditembak - antara berpuluh orang awam yang dipindahkan dari kawasan itu setakat ini.
“Hari ini, kita akan terus pindahkan lagi mangsa dan mencari penjenayah,” kata jurucakap tentera Papua, Muhammad Aidi.
Tentera hari ini berkata seorang saksi mendakwa 50 pemberontak masuk ke dalam kem pekerja pada Sabtu lalu dan mengerahkan pekerja yang masing-maisng terikat pada tangan keluar dari situ.
Keesokan harinya, sekumpulan pekerja mati ditembak pemberontak, manakala beberapa orang berjaya melarikan diri, menurut saksi itu.
Tambahnya, pemberontak dikatakan berjaya menangkap enam pekerja dan mengelar leher mereka. Sekurang-kurangnya 19 pekerja terbunuh.
Media tempatan sebelum ini melaporkan seramai 24 hingga 31 orang terbunuh. Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum membuat pengesahan. – AFP, 5 Disember, 2018.
Komen