KEPUTUSAN PAS yang berkeras mahu mengadakan himpunan bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) Sabtu ini bukanlah kerana konvensyen Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, tetapi demi kelangsungan politik parti itu, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Lim berkata himpunan itu tidak lagi relevan kerana Kabinet telahpun memutuskan untuk tidak meratifikasi ICERD.
PAS hanya menjadikan himpunan itu nanti sebagai cara untuk melagakan orang Islam dengan bukan Islam.
“DAP akan biarkan rakyat Malaysia untuk nilaikan sendiri, sama ada Hadi di dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan provokasi melaga-lagakan Muslim terhadap bukan Muslim, adalah ekstrimis atau bertanggungjawab?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini Hadi menegaskan yang himpunan tersebut perlu kerana ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai daripada ahli Parlimen Islam dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Lim menolak dakwaan Hadi itu dan berkata presiden PAS itu mahu rakyat Malaysia berpecah-belah.
“Ahli Parlimen Bumiputera, yang termasuk Bumiputera bukan Muslim, melebihi golongan bukan Bumiputera 70 ke 58 di dalam PH.
“Adakah Hadi tidak menganggap Bumiputera bukan Muslim dari Sabah dan Sarawak sebagai tidak setaraf dengan status Bumiputera, kerana mereka tidak beragama Islam?
“Di dalam Kabinet, tidak timbul isu bukan Muslim melebihi Muslim.,” kata Lim. – 5 Disember, 2018.
Komen