Jawatankuasa jarakkan diri daripada usaha jana dana beli tanah kuil Seafield


Ravin Palanisamy Noel Achariam

Pengerusi S Ramaji berkata usaha tersebut adalah inisiatif peribadi Vincent Tan dan tidak melibatkan jawatankuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2018.

JAWATANKUASA Tindakan Khas Selamatkan Kuil Seafield menjarakkan dirinya daripada inisiatif jana dana dilakukan Pengasas Kumpulan Berjaya Vincent Tan untuk membantu membeli tanah kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Pengerusi S Ramaji berkata usaha tersebut adalah inisiatif peribadi Tan dan tidak melibatkan jawatankuasa.

“Tan Sri (Tan) datang ke sini tetapi mereka tidak berjumpa kami secara rasmi.

“Apa sahaja yang mereka kutip, kami biarkan kepada mereka. Walaupun kami mengalu-alukan usahanya, kami tidak mahu jadi sebahagian daripadanya dan ia tiada kaitan dengan kami,” katanya kepada wartawan di kuil hari ini.

Tan memulakan usaha kutip dana itu selepas rusuhan di kuil minggu lepas, berkata ia adalah sebahagian usahanya untuk menamatkan kontroversi berkaitan cadangan pemindahan tapak kuil ke lokasi berbeza.

Dana yang ditubuhkan untuk membeli tanah tapak kuil itu sudah mengutip RM2 juta.

Ramaji berkata walaupun jawatankuasa tidak menentang usaha tersebut, keutamaan mereka adalah memastikan tapak kuil dikekalkan dan digazet.

“Kami tak tentang usahanya. Dia ada hak berbuat demikian. Kami tak halang tetapi pertamanya kami mahu tempat ini dikekalkan untuk kuil dan kemudiannya digazetkan. Bagi kami, ia lebih penting berbanding duit. Selepas ia dilakukan secara rasmi, kita bincang soal duit,” katanya. – 5 Disember, 2018.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen